Kerajaan telah menolak tanggapan pihak yang menyamakan pendekatan wasatiyyah dengan liberalisme.

Kerajaan menarik perhatian bahawa formula wasatiyyah yang dipraktikkannya merangkumi beberapa elemen tunjang berupa kesederhanaan, berimbang dan mementingkan kecemerlangan yang sekali gus membawa pembangunan kepada masyarakat secara menyeluruh berdasarkan ajaran Islam.

"Adalah tidak tepat untuk sesetengah pihak sengaja menyamakan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan dengan konsep liberalisme kerana intipatinya jelas berlainan," demikian tegas ahli sains politik Dr Chandra Muzaffar.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia berkata, kesederhanaan merupakan pendekatan terbaik untuk menangani isu-isu berkaitan, sebaliknya liberalisme jika tidak dipantau, mempunyai potensi untuk menjurus ke arah ekstremisme.

"Wasatiyyah atau 'moderation' sentiasa memilih jalan tengah. Ia boleh disifatkan sebagai usaha untuk mengimbangi semua kepentingan untuk mencari jalan yang boleh disifatkan sebagai muafakat antara semua.

"Liberalisme pula merupakan fahaman yang wujud dari Eropah pada kurun ke-18 di mana ia menekankan kebebasan individu, kebebasan bersuara, berpersatuan, berhimpun dan sebagainya," kata Chandra Muzaffar.

Beliau yang juga Presiden Gerakan Antarabangsa untuk Dunia Keadilan (JUST) menegaskan sekiranya masyarakat negara ini menganggap liberalisme sebagai nilai unggul dan tidak boleh dipersoalkan kerana terdapat elemen kebebasan, maka ia adalah bercanggah sama sekali dengan nilai- nilai agama dan budaya yang diamalkan di negara ini.

Pendekatan wasatiyyah adalah penting bagi menolak sifat taksub, fanatik dan fahaman melampau yang menyebabkan masyarakat menjadi jumud sehingga tidak boleh melihat sesuatu yang dibangkitkan secara umum, jelasnya.

"Tidak boleh dinafikan ada sesetengah elemen dalam konsep liberalisme boleh memberi nilai tambah kepada wasatiyyah. Wasatiyyah bermakna keseimbangan dan satu keadaan yang adil kerana kita melakukan sesuatu perkara dengan seimbang.

"Dan harus kita memperkukuhkan idea itu dengan idea lain yang tidak bercanggah dengan roh perlembagaan. Sebaliknya ada kemungkinan, dalam berpegang kepada liberalisme ia boleh menjadi ekstrem.

“Sebagai contoh apabila kita mula menganggap kebebasan itu sebagai sesuatu yang mutlak, mengejar kebebasan sebagai nilai yang unggul, sehingga kita anggap ia sebagai tidak boleh disekat, dibatasi oleh apa-apa pertimbangan yang lain," tegas beliau.

Justeru Chandra Muzaffar berharap adalah penting sekiranya masyarakat dapat memahami aspirasi kerajaan yang lebih menitikberatkan wasatiyyah kerana ia lebih sesuai dengan latar belakang sosioekonomi dan geopolitik negara.

Elemen pengasingan agama

Penganalisis politik Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak pula menganggap konsep liberalisme mempunyai elemen sekularisme iaitu pengasingan agama daripada pentadbiran negara secara keseluruhan.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata konsep liberalisme sebenarnya mempunyai konteks yang luas dan boleh dibahagikan kepada asas-asas seperti 'social-liberalisme', 'economic-liberalisme' dan 'political-liberalisme'.

"Liberal kalau mengikut falsafah penulis buku 'On Liberty' iaitu John Stuart Mill, ia lebih bertujuan ke arah mencabar pemikiran yang ortodoks dan dogmatik. Dan beliau selalunya menyentuh mengenai batasan kebebasan, kebebasan bersuara contohnya.

"Tetapi kebebasan itu tidak boleh diamalkan sehingga ia boleh mengancam orang lain. Kerana sebaik kita memudaratkan orang lain, itu sudah tidak termasuk dalam definisi liberal yang sebenar," kata Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) ini.

Mohamed Mustafa berkata tidak harus dilupakan bahawa Malaysia sendiri telah mengamalkan antara cabang konsep itu iaitu dasar liberalisasi dalam pengurusan ekonomi.

"Masyarakat terutamanya kaum Melayu perlu diberi penerangan jelas tentang konsep liberalisme dan bagaimana ia mampu memberi nilai tambah kepada konsep wasatiyyah.

"Ada banyak elemen dalam cabang political-liberalisme yang boleh dan telah kita amalkan selama ini. Contohnya kita menghormati hak majoriti (dalam menentukan kerajaan) dan pada masa yang sama, kita juga menghormati hak individu.

"Tetapi yang tidak boleh dilakukan ialah apabila hak individu dibesarkan sehingga menafikan hak majoriti dan sebaliknya," katanya.

Tidak menolak secara menyeluruh

Bagi pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran Dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Dr Syarifah Syahirah Syed Sheikh, adalah lebih baik sekiranya rakyat tidak menolak secara menyeluruh konsep liberalisme dan kesederhanaan.

Beliau berkata sekiranya dapat dicari dan dikupas titik persamaan antara kedua-dua konsep ini, ia diyakini dapat membantu Malaysia menjadi lebih progresif terutama dalam usaha menuju ke arah status negara maju.

"Sekiranya kita mendukung tema liberal iaitu meraikan kepelbagaian, ia akan lebih menguntungkan dalam usaha mencapai matlamat yang lebih besar iaitu kemajuan untuk semua kaum serta menjadikan Malaysia lebih maju dan berdaya saing pada masa akan datang," jelasnya. – Mohd Noor Firdaus Mohd Azil