NATIONAL

Waspada e-mel palsu tawar khidmat urus wang tak dituntut

Bernama 13/06/2017 | 13:09 MYT
Jabatan Akauntan Negara Malaysia juga tidak pernah melantik mana-mana ejen bagi tujuan menguruskan Wang Tak Dituntut bagi pihak empunya. - Gambar hiasan
Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) hari ini mengingatkan orang awam agar tidak mempercayai e-mel palsu yang menawarkan perkhidmatan menguruskan Wang Tak Dituntut (WTD).

JANM dalam satu kenyataan hari ini berkata, jabatan itu tidak pernah mengeluarkan e-mel kepada mana-mana pihak termasuk individu, syarikat atau firma bagi menawarkan perkhidmatan menguruskan WTD.

"Jabatan ini amat kesal dengan penyamaran e-mel palsu yang menggunakan alamat e-mel che.pee.samsudin@accountant.com bagi menawarkan perkhidmatan tersebut kepada orang awam.

"JANM juga tidak pernah melantik mana-mana ejen bagi tujuan menguruskan WTD bagi pihak empunya," jelas kenyataan itu.

Susulan daripada pengeluaran e-mel palsu itu, JANM telah membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA


#e-mel palsu #Jabatan Akauntan Negara Malaysia #JANM #penyamaran #wang tak dituntut #wtd