Waspada perangkap keldai dadah di media sosial - Lee Lam Thye

Lee menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak menjadi mangsa, termasuk jangan sesekali bersetuju membawa atau daftar masuk bagasi milik orang lain. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap kegiatan sindiket dadah yang kini menggunakan platform media sosial untuk merekrut individu sebagai keldai dadah.
Ringkasan AI
- Sindiket dadah menggunakan platform media sosial seperti TikTok, Instagram, dan Facebook untuk merekrut individu sebagai keldai dadah dengan tawaran wang mudah, percutian percuma, dan pekerjaan penghantaran lumayan.
- Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat menekankan bahaya hukuman mati atau penjara seumur hidup bagi sesiapa yang terlibat membawa dadah, walaupun tidak mengetahui kandungannya.
- Rakyat Malaysia digesa untuk berwaspada terhadap tawaran pekerjaan melalui media sosial, memantau aktiviti anak dalam talian, dan tidak terpedaya dengan janji kemewahan yang terlalu mudah melalui platform tersebut.
"Tiada sebarang tawaran dalam talian yang berbaloi untuk nyawa, maruah dan kebebasan anda dijadikan galang ganti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memuji tindakan pantas dan berkesan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang menahan empat individu yang cuba menyeludup ganja bernilai RM8.3 juta ke Manchester, United Kingdom.
"Kes itu membuka mata kita bahawa sindiket dadah kini mengeksploitasi media sosial untuk memerangkap rakyat Malaysia menjadi keldai dadah," katanya.
Lee menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak menjadi mangsa, termasuk jangan sesekali bersetuju membawa atau daftar masuk bagasi milik orang lain, terutamanya individu tidak dikenali atau kenalan dalam talian.
Orang ramai juga diingatkan supaya senantiasa berhati-hati terhadap tawaran pekerjaan yang diterima melalui media sosial, khususnya melibatkan perjalanan ke luar negara dengan upah yang lumayan dan skop kerja yang tidak jelas.
"Jangan terperdaya dengan video yang menjanjikan kemewahan atau kekayaan segera, sindiket dadah menggunakan pempengaruh media sosial dan akaun palsu untuk memperdaya mangsa. Jika sesuatu tawaran kedengaran terlalu mudah atau terlalu indah untuk dipercayai, besar kemungkinan ia penipuan atau jenayah," katanya.
Lee turut menggesa ibu bapa memantau aktiviti dalam talian anak-anak serta melaporkan jika menerima mesej, tawaran kerja atau individu yang mencurigakan kepada pihak berkuasa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


