MALAYSIA

Waspada video AI: Cara kenal pasti kandungan palsu

Nik Nuur Azam Shah 02/07/2025 | 10:00 MYT
Video AI kadangkala menunjukkan pergerakan yang tidak seiring atau visual yang terlalu ‘sempurna’ hingga kelihatan pelik. - Gambar hiasan/ Freepik
INSIDEN pasangan warga emas yang didakwa terperdaya dengan video janaan kecerdasan buatan (AI) mengenai kononnya terdapat kereta kabel pelancongan di Pengkalan Hulu baru-baru ini, membuka mata banyak pihak tentang bahaya kandungan palsu janaan AI.
Di sebalik kecanggihan teknologi, ramai orang terutama warga emas yang masih belum bersedia untuk berdepan kandungan manipulatif yang tampak sahih tetapi palsu.
Berikut adalah tujuh cara mudah untuk mengenal pasti kandungan video atau imej yang mungkin dijana oleh AI:
1. Semak sumber kandungan
Pastikan maklumat atau video datang daripada sumber yang sahih seperti portal berita utama, laman web rasmi, atau akaun media sosial yang disahkan. Elakkan percaya bulat-bulat kepada kandungan dari akaun peribadi tidak dikenali.
2. Tonton dengan teliti
Perhatikan pergerakan mulut, ekspresi wajah, dan latar belakang. Video AI kadangkala menunjukkan pergerakan yang tidak seiring atau visual yang terlalu ‘sempurna’ hingga kelihatan pelik.
3. Guna alat pengesahan kandungan
Laman seperti InVID, Deepware Scanner, atau Hive Moderation boleh membantu mengesan sama ada video atau imej telah dimanipulasi atau dijana oleh AI.
4. Lakukan semakan pantas di Google atau laman rasmi
Jika sesuatu maklumat kelihatan meragukan, cari liputan mengenainya di Google News atau semak di laman rasmi organisasi atau agensi berkaitan. Ketiadaan maklumat sahih boleh jadi petunjuk awal kandungan itu palsu.
5. Periksa gaya penyampaian video
Video AI selalunya mengguna naratif yang terlalu dramatik, terlalu meyakinkan, atau menyerupai gaya pemberitaan palsu. Lihat sama ada ia menyertakan logo media rasmi atau hanya reka bentuk yang meniru.
6. Jangan mudah terpedaya dengan komen ramai
Ribuan komen yang menyokong atau menyebarkan maklumat itu belum tentu sahih. Ada kemungkinan ia dimanipulasi oleh bot atau AI untuk mewujudkan keyakinan palsu.
7. Waspada dengan tawaran yang terlalu menarik
Jika sesuatu promosi atau berita kelihatan terlalu luar biasa, ada kemungkinan ia palsu. Pendekatan ‘jika ragu, jangan terus percaya’ masih relevan.
Dengan peningkatan penggunaan AI dalam menghasilkan kandungan palsu, penting untuk setiap pengguna internet meningkatkan literasi digital dan berhati-hati sebelum mempercayai dan berkongsi sebarang maklumat.
#video janaan AI #kereta kabel Baling #video palsu #cara periksa video AI