Skip to main content

Malaysia

Waze: Data ke negara haram, pertikaian di mahkamah Israel, terserah kepada pengguna - MKN

Raja Nushirwan berkata, larangan semasa hanya terpakai kepada penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi, manakala orang awam masih bebas menentukan aplikasi navigasi yang ingin digunakan. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Raja Nushirwan berkata, larangan semasa hanya terpakai kepada penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi, manakala orang awam masih bebas menentukan aplikasi navigasi yang ingin digunakan. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Advertisement

CYBERJAYA: Pengguna Waze perlu memahami risiko apabila data pergerakan mereka tertakluk kepada undang-undang Israel, termasuk kemungkinan pertikaian berkaitan perkhidmatan aplikasi itu dibawa ke mahkamah negara haram berkenaan.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin berkata, keputusan kerajaan melarang penjawat awam menggunakan Waze bagi urusan rasmi dibuat susulan perubahan terma penggunaan aplikasi itu baru-baru ini.

Menurutnya, berkuat kuasa 1 Ogos lalu, Waze telah menetapkan undang-undang Israel sebagai perundangan yang mentadbir perkhidmatannya.

“Kalau rakyat Malaysia sanggup data mereka pergi ke Israel, dan apa juga pertikaian undang-undang akan diputuskan di mahkamah Israel, maka itu terserahlah kepada budi bicara masing-masing,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Raja Nushirwan berkata, perubahan terma penggunaan itu mendorong kerajaan meneliti implikasi perundangan dan keselamatan siber, khususnya berkaitan data lokasi serta corak pergerakan pengguna.

Katanya, data berkenaan boleh mendedahkan corak pergerakan dan aktiviti seseorang apabila dihimpunkan serta dianalisis, sekali gus menimbulkan kebimbangan dari sudut keselamatan negara.

Bagaimanapun, jelasnya, larangan semasa hanya terpakai kepada penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi, manakala orang awam masih bebas menentukan aplikasi navigasi yang ingin digunakan.

Raja Nushirwan berkata, pendekatan itu bertujuan mengimbangi keperluan keselamatan negara dengan hak individu untuk memilih, selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai perlindungan data.

"Keputusan ini bukan semata-mata disebabkan isu teknologi tetapi turut terkait dengan undang-undang yang mentadbir data pengguna.

"Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap hak rakyat dan kedaulatan negara. Pendekatan kerajaan ialah memastikan data negara tidak tertakluk kepada bidang kuasa Israel," jelasnya.

Selasa lalu, kerajaan menggalakkan penggunaan aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia atau aplikasi lain yang bersesuaian.

Pada Rabu, kerajaan mengarahkan semua anggota perkhidmatan awam menghentikan serta-merta penggunaan Waze, yang berpangkalan di Israel.

Arahan itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi surat rasmi bertarikh 20 Okt kepada ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan Persekutuan, ketua pengurusan badan berkanun Persekutuan serta pihak berkuasa berkaitan.

Must Watch Video

Advertisement