Skip to main content

Malaysia

Waze pegang data pemetaan seluruh Malaysia, termasuk lokasi sensitif tidak berdaftar - NACSA

Megat Zuhairy berkata, penggunaan harian Waze oleh rakyat Malaysia termasuk penjawat awam tanpa disedari telah ‘melengkapkan’ sistem pemetaan aplikasi tersebut. - Gambar hiasan
Megat Zuhairy berkata, penggunaan harian Waze oleh rakyat Malaysia termasuk penjawat awam tanpa disedari telah ‘melengkapkan’ sistem pemetaan aplikasi tersebut. - Gambar hiasan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Aplikasi navigasi Waze telah mengumpul data strategik negara selama bertahun-tahun, sehingga berjaya memetakan lambakan lokasi sensitif yang tidak didaftarkan dalam peta awam.

Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir. Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, penggunaan harian Waze oleh rakyat Malaysia termasuk penjawat awam tanpa disedari telah ‘melengkapkan’ sistem pemetaan aplikasi tersebut.

Menurut beliau, perkara itu menyebabkan laluan serta premis yang sepatutnya dirahsiakan daripada pengetahuan entiti asing kini berada dalam pangkalan data Waze yang berpusat di Tel Aviv, Israel.

“Kita tak nafikan memang data itu ada dengan mereka, termasuk lokasi yang mungkin selama ini tidak diletakkan dalam peta, kawasan sensitif.

“Kalau ingat dahulu, pada peringkat awal pembangunan Waze, jika kita hendak balik kampung pun jalan diberikan kurang betul. Namun selepas penggunaan selama bertahun-tahun, kita rakyat Malaysia telah memberikan maklumat diperlukan aplikasi tersebut.

“Kalau ikutkan dari segi statistik, kita antara negara paling ramai pengguna Waze di ASEAN pada tahun 2019, 6.9 juta kalau tidak silap saya, dan kelima terbanyak di dunia.

"Disebabkan input diberikan oleh kita itu, menyebabkan Waze mempunyai maklumat yang amat besar terhadap lokasi dan pemetaan di Malaysia,” katanya.

Jelasnya, situasi tersebut mencetuskan ancaman keselamatan yang nyata kerana pengguna terikat dengan terma perundangan Israel, bermaksud rejim Zionis mempunyai kuasa untuk menuntut data pengguna dan pemetaan sensitif daripada Waze pada bila-bila masa.

"Permintaan itu untuk tujuan yang kita tahu Israel adalah satu negara haram yang sering mempunyai niat jahat, berbanding negara lain yang kita menjalinkan hubungan diplomatik, seperti Amerika Syarikat.

"Walaupun timbul juga kerisauan tentang Amerika Syarikat, sekurang-kuranya kita mempunyai akses dan hubungan diplomatik dengan mereka, serta garis perundangan yang jelas," jelas Megat.

Tegas Megat, pintu keselamatan Malaysia harus ditutup serta-merta tanpa sebarang kompromi, sebelum sistem pertahanan negara berkemungkinan disabotaj pada masa hadapan.

Katanya lagi, langkah menyekat penggunaan Waze bermula sekarang amat kritikal bagi membolehkan kerajaan menyusun langkah pertahanan dan memastikan pergerakan strategik masa hadapan tidak lagi dijejaki.

Must Watch Video

Advertisement