KUALA LUMPUR: Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menjangkakan lebih 150,000 kenderaan sehari akan menggunakan jajaran lebuh raya berkenaan sepanjang sambutan Hari Kebangsaan ke-69 dan cuti sekolah.
Peningkatan trafik itu dijangka susulan pertambahan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan melakukan perjalanan antara negeri, khususnya antara Lembah Klang dengan destinasi di Selangor dan Perak.
Ketua Operasi Lebuhraya WCE, Ir Syed Muhd. Naguib berkata, pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal serta mengelakkan perjalanan pada waktu puncak, khususnya dari lewat petang hingga malam.
“Kami menjangkakan jumlah trafik melebihi 150,000 kenderaan sehari akan menggunakan WCE sepanjang sambutan Hari Kebangsaan dan cuti sekolah ini.
“Peningkatan ini selaras dengan corak perjalanan yang lazimnya lebih tinggi ketika musim cuti, khususnya bagi perjalanan antara Lembah Klang dengan destinasi di Selangor dan Perak,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, aspek keselamatan pengguna menjadi keutamaan ketika lebih ramai rakyat Malaysia dijangka berada di jalan raya untuk bersama keluarga dan mengunjungi pelbagai destinasi sepanjang tempoh cuti.
“Rancang perjalanan, dapatkan rehat yang secukupnya dan jangan sekali-kali menggadaikan keselamatan semata-mata untuk menjimatkan beberapa minit perjalanan.
"Bagi menghadapi peningkatan trafik, WCE akan meningkatkan kesiapsiagaan operasi di sepanjang jajaran lebuh raya yang telah dibuka, termasuk rondaan lebuh raya dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) yang beroperasi 24 jam.
"Pemantauan keadaan trafik juga akan dilakukan secara berterusan bagi membantu memastikan perjalanan pengguna lebih lancar dan selamat," katanya
Beliau berkata, pengguna turut digalakkan menggunakan aplikasi WCE App untuk merancang perjalanan, mendapatkan panduan navigasi laluan serta maklumat trafik masa nyata, termasuk paparan kamera litar tertutup (CCTV) secara langsung di sepanjang lebuh raya.
"Dalam pada itu, pengguna dinasihatkan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, mempunyai baki kad Touch 'n Go atau e-dompet yang mencukupi serta mematuhi had laju dan memakai tali pinggang keledar sepanjang perjalanan.
"Mereka yang berasa letih juga digesa berhenti dan berehat di hentian sebelah, plaza tol atau kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang disediakan.
"WCE turut mengingatkan semua pengguna supaya tidak menggunakan lorong kecemasan kecuali dalam situasi kecemasan, manakala penunggang motosikal dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati, khususnya ketika trafik meningkat," ujarnya.
Menurut beliau, lorong kecemasan bukan laluan eksklusif untuk motosikal kerana ia disediakan bagi kegunaan kecemasan, operasi menyelamat dan pengurusan insiden.
Bagi penunggang motosikal, kawasan teduhan turut disediakan di sepanjang lebuh raya untuk berehat atau berteduh ketika hujan.
Pengguna yang memerlukan bantuan kecemasan di sepanjang WCE boleh menghubungi talian WCE Infoline di 1700-81-6600, yang beroperasi 24 jam.