Sebanyak 1 juta unit topeng penutup hidung dan mulut diagihkan syarikat pengurusan sumbangan dana dan pelaburan, Winner Dynasty Group Sdn Bhd (WDG) kepada 20 organisasi media di negara ini.

Pengarah WDG, Datuk Seri Liow Soon Hee berkata, inisiatif itu bagi membantu pihak media yang juga merupakan petugas barisan hadapan agar peralatan perlindungan diri (PPE) itu mencukupi untuk kegunaan seharian.

Katanya, bantuan tersebut merupakan fasa kedua pengagihan penutup mulut dan hidung kepada mereka yang memerlukan.

“Fasa satu bantuan ini digerakkan sebelum wabak COVID-19 dikategorikan sebagai pendamik, kita telah mula menggerakkan bantuan 1 juta unit penutup mulut dan hidung kepada China atas dasar setia kawan dalam pelaburan.

“Selepas penularan wabak itu semakin teruk, kita juga telah bekalkan penutup mulut dan hidung kepada petugas barisan hadapan termasuk pasukan kesihatan, pasukan keselamatan dan pihak sekolah.

“Bantuan ini diteruskan kepada pihak media kerana memahami mereka turut memerlukan penutup mulut dan hidung ini untuk membuat liputan berita khususnya di lokasi berisiko tinggi,” katanya di sini pada Sabtu.

Terdahulu majlis penyerahan penutup mulut dan hidung berkenaan diwakili Ketua Pegawai Eksekutif WDG, Datuk Lee Kum Weng manakala Astro Malaysia diwakili Editor yang juga Hos Astro AWANI, Nazri Kahar.

Selain Astro Malaysia, organisasi media yang turut menerima bantuan itu termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) masing-masing menerima sebanyak 500,000 unit penutup mulut dan hidung.

Soon Hee berkata, bantuan itu merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya dalam membantu kerajaan menyediakan penutup mulut dan hidung kepada pihak yang memerlukan.

"Selain itu, sumbangan ini juga akan diagihkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan untuk diberikan kepada petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sedang giat menjalankan eksesais sanitasi atau nyah kuman di kawasan awam.

"WDG bertekad untuk terus komited membantu kerajaan dan bersama-sama menghapuskan COVID-19," ujarnya.