AHLI Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong mendedahkan beliau menerima surat saman kedua daripada pengimport telur dari India susulan kenyataannya di Dewan Rakyat minggu lalu mengenai isu kekurangan telur.

Ka Siong yang juga Presiden MCA berkata, beliau rasa terkilan dengan tindakan tersebut.

"Saya rasa terkilan kerana baru saja menerima surat kedua dari peguam yang mewakili syarikat pengimport telur dari India.

"Saya tidak gentar dan tetap mempertahankan kenyataan yang telah saya buat di dalam Dewan Rakyat," ujarnya menerusi satu kenyataan di laman Facebook pada Khamis.



Isnin lalu, Ka Siong mendedahkan beliau menerima surat saman daripada pengimport telur dari India susulan kenyataan dibuat ketika mencelah pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat minggu lalu.

Beliau meraih perhatian apabila membawa tiga telur ayam berlainan jenis iaitu telur dari India, telur omega dan telur tempatan ke Dewan Rakyat.

Beliau ketika itu menggesa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menumpu soal ketidakcukupan telur ayam tempatan, bukannya mengimport telur antaranya dari India untuk menampung keperluan domestik.

Tambah Ka Siong, tiada siapa yang dapat menghalangnya untuk bersuara demi kepentingan rakyat jelata.

"Tiada siapa dapat menghentikan saya daripada menjadi jurucakap rakyat. Saya serahkan kepada peguam saya untuk tindakan selanjutnya," jelasnya. -Sinar Harian