KUALA LUMPUR: Langkah untuk memperkukuh kemandirian ekonomi wanita dan membina tenaga kerja adaptif melalui pembelajaran sepanjang hayat adalah antara enam tonggak strategik yang digariskan dalam Resolusi Forum Ekonomi Wanita Tahunan (WEF) dan G100 Global Meet 2026 bagi memacu pembangunan yang diterajui oleh wanita.
Pengerusi penganjur Datin Dr Hartini Osman berkata resolusi itu juga merangkumi memajukan transformasi ekonomi melalui keusahawanan sosial dan memperkasakan kesihatan dan kesejahteraan wanita.
Keutamaan lain termasuk memastikan transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) dipandu oleh prinsip beretika, dan menggalakkan pemerkasaan wanita menerusi perkongsian yang melibatkan penggubal dasar, ahli akademik dan sektor perniagaan.
Beliau berkata dokumen resolusi menyeluruh itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pihak perwakilan, sekali gus mengesahkan komitmen kolektif untuk memperkasakan wanita, memperkukuh komuniti dan membina masa depan yang lebih inklusif, saksama dan mampan.
"Melalui kerjasama, inovasi yang bertanggungjawab dan tindakan bermakna, kita dapat menterjemahkan komitmen ini kepada kemajuan yang boleh diukur, memperkasakan wanita untuk beralih daripada survival kepada peningkatan hidup, dan memastikan mereka berkembang maju dengan pemangkin dan perubahan positif serta impak global yang berkekalan," katanya dalam ucapan penutupan sidang kemuncak berkenaan di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), di sini hari ini.
Sidang kemuncak itu menghimpunkan kira-kira 400 perwakilan tempatan dan antarabangsa, bersama dengan 71 penceramah dari 17 negara melalui 25 sesi.
Sementara itu, Ahli Dewan Negara Senator Dr Jufitri Joha dalam ucapan penutupan berkata sasaran negara untuk mencapai 60 peratus penyertaan tenaga kerja dalam kalangan wanita di bawah Dasar Wanita Negara 2025-2030, perlu disokong oleh akses saksama kepada modal, pasaran, pembuat keputusan, berbanding sekadar perwakilan secara simbolik.
Beliau berkata data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menujukkan bahawa pada 2024, hanya kira-kira 57 peratus daripada 100 wanita terlibat dalam pasaran kerja berbanding 83 daripada setiap 100 lelaki.
Jufitri berkata langkah menangani perbezaan ini memerlukan perubahan struktur ke arah ekonomi manusiawi yang secara formal menghargai ekonomi penjagaan dan peranan wanita dalam pembangunan komuniti.
"Jurang ini mewakili bakat dan potensi, kita perlu melakukan lebih banyak lagi untuk mengurangkannya. Namun, pemerkasaan perlu melangkaui pengiktirafan dan perwakilan. Pemerkasaan bermaksud akses kepada peluang, modal, pasaran, teknologi dan pembuat keputusan dalam menentukan masa depan," katanya.
Beliau berkata komuniti perniagaan juga memainkan peranan penting dalam membantu menterjemahkan hala tuju negara kepada peluang yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh wanita.
-- BERNAMA