GADGETS

WhatsApp lancar mod sekuriti ketat bagi lindungi pengguna berisiko tinggi

Amanz 28/01/2026 | 10:30 MYT
Menerusi ciri ini, WhatsApp akan menghalang media dan lampiran daripada nombor tidak dikenali, selain menyenyapkan panggilan daripada pemanggil luar senarai kenalan. -Gambar Amanz
WHATSAPP memperkenalkan ciri keselamatan baharu dikenali sebagai Strict Account Settings, khusus untuk melindungi wartawan, aktivis serta tokoh awam yang berisiko tinggi menjadi sasaran serangan siber canggih.

Langkah ini menyusul kebimbangan global terhadap penggunaan spyware seperti Pegasus yang pernah digunakan untuk memantau komunikasi wartawan Jamal Khashoggi.

Menerusi ciri ini, WhatsApp akan menghalang media dan lampiran daripada nombor tidak dikenali, selain menyenyapkan panggilan daripada pemanggil luar senarai kenalan.

Link previews turut dinyahdayakan, dan beberapa tetapan privasi lain diketatkan secara automatik bagi mengurangkan risiko pencerobohan dan serangan yang disasarkan.

WhatsApp menjelaskan bahawa ciri sekuriti ketat ini akan dilancarkan secara berperingkat dalam minggu-minggu mendatang.

Pengguna boleh mengaksesnya melalui Settings > Privacy > Advanced, namun hanya dari peranti utama dan bukan melalui WhatsApp Web atau aplikasi desktop.

Ciri baharu ini turut disifatkan sebagai lanjutan kepada perlindungan sedia ada, termasuk penyulitan hujung ke hujung (end‑to‑end encryption), sekali gus memberikan lapisan keselamatan tambahan kepada pengguna yang berdepan ancaman siber yang lebih kompleks. -Amanz








#WhatsApp #Strict Account Settings #lindungi wartawan aktivis #sasaran serangan siber