MALAYSIA
Whistleblower: Memahami prosedur perlindungan pemberi maklumat
Wan Shaharuddin berkata, perlindungan ini tertakluk kepada syarat dan prosedur tertentu untuk memastikan keberkesanannya serta mengelakkan sebarang penyalahgunaan.
KEBELAKANGAN ini, isu pemberi maklumat telah menjadi topik tumpuan umum, khususnya dalam konteks membanteras rasuah. Malangnya, terdapat salah faham yang meluas dalam kalangan masyarakat mengenai siapa yang layak dilindungi dan prosedur yang perlu diikuti.
Ada yang berpendapat sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat mengenai salah laku boleh memohon perlindungan sebagai pemberi maklumat, tetapi hakikatnya tidak semudah itu.
Negara kita mempunyai undang-undang khusus untuk melindungi pemberi maklumat daripada tindakan balas yang tidak wajar, iaitu melalui Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Whistleblower Protection Act 2010).
Namun, perlindungan ini tertakluk kepada syarat dan prosedur tertentu untuk memastikan keberkesanannya serta mengelakkan sebarang penyalahgunaan.
Salah faham yang sering timbul ialah kepercayaan bahawa pemberi maklumat boleh mendedahkan maklumat secara umum, contohnya kepada media atau media sosial sebelum memohon perlindungan. Ini adalah tanggapan yang salah.
Mengikut undang-undang, maklumat mengenai salah laku mesti dilaporkan kepada agensi penguat kuasa terlebih dahulu. Jika seseorang mendedahkan maklumat kepada umum sebelum membuat laporan rasmi, ia mungkin menjejaskan identiti dirinya sendiri serta kesahihan maklumat yang didedahkan.
Selain itu, terdapat risiko maklumat tersebut belum disahkan atau boleh disalah tafsir, yang akhirnya boleh merosakkan kredibiliti kes tersebut.
Di samping itu, agensi penguat kuasa tidak dapat memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat yang telah "mendedahkan" dirinya sendiri sebelum membuat laporan formal.
Kriteria Perlindungan
Bagi mendapatkan perlindungan pemberi maklumat, individu perlu memenuhi beberapa syarat. Pertama, laporan mesti dibuat kepada agensi penguat kuasaan yang sah seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau agensi kerajaan lain yang berkaitan.
Kedua, laporan tersebut perlu dibuat dengan niat baik dan bukannya atas tujuan jahat seperti membalas dendam atau memfitnah.
Satu lagi syarat penting ialah pemberi maklumat tidak boleh terlibat dalam kesalahan yang dilaporkan. Seksyen 11(1) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 jelas menyatakan bahawa perlindungan boleh dibatalkan jika pemberi maklumat tersebut didapati turut terlibat dalam salah laku yang didedahkan.
Ini bagi memastikan integriti pemberi maklumat dan mengelakkan mereka daripada menyalahgunakan status perlindungan sebagai "perisai" untuk melindungi diri mereka sendiri daripada kesalahan yang mereka lakukan.
Prosedur untuk Memohon Perlindungan
Proses untuk memohon perlindungan pemberi maklumat adalah jelas dan tertib. Individu perlu melapor terus kepada agensi penguat kuasa kerajaan seperti SPRM atau PDRM. Selepas laporan diterima dan memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Akta, pemberi maklumat akan diberikan perlindungan yang dijamin oleh undang-undang.
Antara bentuk perlindungan yang disediakan termasuklah:
- Kerahsiaan Identiti: Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya dan tidak akan didedahkan kepada pihak lain termasuk semasa prosiding mahkamah.
Walaupun undang-undang sudah tersedia, pemberi maklumat sering menghadapi cabaran dalam menegakkan kebenaran. Antaranya ialah pemberi maklumat sering dilabel sebagai "pengadu" atau "pengkhianat", khususnya jika kesalahan melibatkan majikan atau organisasi tempat mereka bekerja.
Selain itu, walaupun perlindungan undang-undang diberikan, masih wujud kebimbangan mengenai ancaman atau diskriminasi yang boleh mereka hadapi secara langsung atau tidak langsung. Malah, masih ramai yang tidak memahami prosedur undang-undang untuk menjadi pemberi maklumat dan bagaimana mereka boleh memohon perlindungan secara sah.
Tanggungjawab Masyarakat dan Insentif Melaporkan Rasuah
Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita juga perlu memahami peranan dan tanggungjawab melaporkan jenayah rasuah.
Seksyen 25 Akta SPRM 2009 menetapkan bahawa sesiapa yang mengetahui tentang pemberian, penerimaan atau tawaran rasuah tetapi gagal melaporkannya boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, sejak 2011, kerajaan telah memperkenalkan insentif ganjaran wang tunai dan pengiktirafan kepada penjawat awam yang melaporkan rasuah kepada SPRM. Ganjaran ini diberikan berdasarkan nilai rasuah yang terlibat apabila laporan atau aduan mereka berakhir dengan sabitan di mahkamah.
Setakat 2024, seramai 514 penjawat awam telah menerima ganjaran melebihi RM1 juta dalam program insentif ini dengan ganjaran tertinggi sebanyak RM100,000 pernah diberikan kepada seorang kakitangan awam kerana melaporkan rasuah.
Reformasi Undang-Undang Perlindungan
Undang-undang perlindungan pemberi maklumat adalah salah satu alat penting dalam usaha membanteras rasuah dan salah laku di negara ini. Ia memberi keyakinan kepada pemberi maklumat yang sahih untuk tampil mendedahkan maklumat tanpa rasa takut akan tindakan balas.
Namun demikian, Akta sedia ada masih mempunyai beberapa kelemahan yang perlu ditambah baik bagi memastikan perlindungan yang lebih efektif kepada pemberi maklumat.
Pada masa ini, Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 6 Mac 2025. Pindaan ini bertujuan untuk memperkasakan lagi perlindungan kepada pemberi maklumat yang melaporkan salah laku, terutamanya dalam sektor awam dan swasta berkaitan gejala rasuah.
Ia dijangka akan memberikan perlindungan yang lebih komprehensif kepada pemberi maklumat, termasuk perlindungan daripada tindakan memudaratkan dan kekebalan daripada tindakan sivil atau jenayah.
Pindaan ini diharap dapat menggalakkan lebih ramai individu untuk tampil melaporkan salah laku tanpa rasa takut.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Transparency International Malaysia (TI-M) telah menzahirkan sokongan penuh usaha penambahbaikan akta ini dalam satu kunjungan hormat Presiden TI-Malaysia, Raymon Ram ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Kesimpulan
Kesedaran mengenai peranan, tanggungjawab dan perlindungan pemberi maklumat perlu ditingkatkan dalam masyarakat.
Salah faham bahawa sesiapa sahaja boleh memohon perlindungan tanpa memenuhi syarat yang ditetapkan perlu diperbetulkan agar undang-undang ini tidak disalah guna.
Sebagai rakyat yang prihatin, kita perlu memahami bahawa pemberi maklumat memainkan peranan penting dan segala sokongan harus diberikan bagi mendedahkan salah laku dan memastikan integriti institusi terus terjaga.
Dengan adanya undang-undang yang kukuh dan kesedaran masyarakat akan tanggungjawab mereka, usaha membanteras rasuah di Malaysia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
* Artikel oleh Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM