KUALA LUMPUR:Widad Group Bhd menegaskan bahawa matlamat di sebalik memorandum kerjasamanya dengan Rinani Dynamic Sdn Bhd yang ditandatangani pada 15 Disember ialah untuk mengedar, memasarkan dan menjual vaksin COVID-19 yang dikenali sebagai VXA-Cov2-1 di Malaysia.

Rinani Dynamic adalah wakil tempatan untuk Vaxart Inc, sebuah syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang mengeluarkan vaksin dan produk lain.

VXA-CoV2-1 adalah vaksin COVID-19 dalam bentuk tablet dan hanya diberikan satu dos serta Vaxart Inc menyatakan dapat diagihkan dengan mudah tanpa memerlukan penyimpanan dan pengedaran rantaian sejuk.

Pengarah Urusan Widad Group Datuk Mohd Rizal Mohd Jaafar berkata syarikat, yang terlibat dalam aktiviti pembinaan dan perkhidmatan pengurusan kemudahan bersepadu, belum menghubungi mana-mana pelanggan yang berpotensi berikutan vaksin itu masih menjalani ujian klinikal.

"Vaksin itu belum mendapat pelepasan untuk dikomersialkan dan masih menjalani ujian klinikal," katanya dalam jawapan kepada pertanyaan Bursa Malaysia hari ini.

Sementara itu, Vaxart Inc telah mengemukakan serahan Pre-Investigational New Drug untuk vaksin itu kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS pada 10 Ogos, dan mendapat pelepasan daripada FDA pada 14 Sept.

"Pada masa ini, Vaxart sedang menjalankan ujian klinikal Fasa 1 dan akan melakukan Fasa 1 dan 3 dalam masa terdekat.

"Selepas selesai ujian klinikal, Vaxart akan menyerahkan keputusan kepada FDA," kata Mohd Rizal.

Selepas mendapat kelulusan yang diperlukan daripada FDA, Rinani Dynamic akan menyerahkan data yang relevan kepada Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan di bawah Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa lain yang berkaitan untuk pelesenan, pendaftaran penilaian dan ujian sebelum pengkomersialan tablet diadakan.

Selain itu, katanya jumlah pengeluaran modal dan pelaburan tidak dapat ditentukan pada masa ini berikutan butirannya perlu dirundingkan dan akan ditentukan pada peringkat seterusnya.

"Mengenai pembiayaan, Widad akan menggunakan sumber dalaman atau institusi kewangan jika perlu," kata Mohd Rizal.

-- BERNAMA