Perdana Menteri telah membentangkan RMK13 hari ini. Dapatkan intipati utama di sini
MALAYSIA

Wisma Putra pantau amaran tsunami di pantai Pasifik Jepun, tiada rakyat Malaysia terjejas

Astro Awani 30/07/2025 | 04:00 MYT
Kementerian Luar Negeri memaklumkan sedang memantau dengan teliti situasi di Jepun susulan amaran tsunami yang dikeluarkan oleh Agensi Meteorologi Jepun pada Rabu. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri memaklumkan sedang memantau dengan teliti situasi di Jepun susulan amaran tsunami yang dikeluarkan oleh Agensi Meteorologi Jepun pada Rabu.

Amaran itu dikeluarkan selepas gempa bumi berukuran 8.0 pada skala Richter melanda berhampiran Semenanjung Kamchatka, Rusia sekitar 8:25 pagi waktu tempatan.

Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran gelombang tsunami setinggi satu hingga tiga meter dijangka tiba di kawasan pantai yang menghadap Pasifik termasuk Hokkaido timur, Semenanjung Boso, Kepulauan Ogasawara, sebahagian Shizuoka, Semenanjung Kii dan Prefektur Miyazaki.

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra berkata, setakat ini tiada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas.

Bagaimanapun, semua rakyat Malaysia di kawasan terlibat dinasihatkan untuk berjaga-jaga, mematuhi arahan keselamatan pihak berkuasa tempatan dan mengikuti perkembangan situasi melalui saluran rasmi.

“Warga Malaysia yang menetap atau sedang melalui kawasan terjejas digalakkan untuk mendaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo dan kekal berhubung bagi memastikan bantuan boleh diberikan dengan segera jika diperlukan,” menurut kenyataan itu.

Untuk sebarang bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo di talian +81334763840 atau talian kecemasan +818043223366 atau melalui e-mel mwtokyo@kln.gov.my / consular.tyo@kln.gov.my.

Wisma Putra menegaskan akan terus memantau keadaan dan mengeluarkan maklumat terkini dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di Jepun terpelihara.






#Wisma Putra #amaran tsunami #pantai Pasifik Jepun #gempa bumi