PROGRAM World #QuranHour yang berlangsung pada hari ini (Selasa) menyasarkan kehadiran 10,000 peserta bagi mengukuhkan kesatuan ummah dan membudayakan al-Quran dalam kehidupan seharian.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, setakat ini sekitar 3,000 peserta telah mendaftar, namun ramai yang menyatakan minat untuk hadir tanpa melakukan pendaftaran rasmi.

Menurutnya, semua pihak digalakkan untuk membuat pendaftaran segera bagi memudahkan penyusunan peserta mengikut saf yang telah ditetapkan.

“Kali ini berbeza sedikit, kita akan menyusun peserta mengikut saf. Ada tiga kategori utama iaitu Umarak (pemimpin), Ulama (ilmuwan agama), dan Ummah (masyarakat) bagi melambangkan kepentingan setiap golongan dalam membina kekuatan bersama berpandukan al-Quran.

“Apa yang menarik, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Program World #QuranHour pada Selasa, selain beberapa tetamu lain seperti isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan ramai lagi.

“Selain itu, bagi menyemarakkan penyertaan, pihak penganjur turut memperkenalkan Saf Challenge, di mana 100 peserta terawal yang membuat hantaran gambar saf tersusun di media sosial akan berpeluang menerima duit raya,” ujarnya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Untuk rekod, sudah sedekad WUIF melaksanakan program berinteraksi dengan al-Quran melalui kempen baca, faham, dan amal.

Bertempat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 25 Mac, acara yang dinanti-nanti saban tahun pada kali ini membawa misi besar berpandukan Surah Al-Saff dengan tema #SavingTheUmmah.

Program tersebut disiarkan secara langsung menerusi beberapa saluran televisyen utama seperti Oasis dan Bernama TV, manakala TV Alhijrah pada 4 April.

Tambah Marhaini, selain membaca al-Quran, perhimpunan tersebut turut mengetengahkan inisiatif Ummah Ikhlas iaitu gerakan mengumpul pelbagai bentuk sumbangan menjelang Aidilfitri.

“Kita ingin membentuk masyarakat yang memahami al-Quran bukan sekadar membaca, tetapi juga mengamalkan nilainilai kasih sayang dan memberi.

“Ini adalah sebahagian daripada perjuangan kita selama 10 tahun untuk membentuk budaya seiring dengan al-Quran iaitu solat, infak, dan ihsan,” ujarnya.

Marhaini turut menegaskan bahawa World #QuranHour bukan hanya untuk golongan tertentu, tetapi untuk semua manusia kerana al-Quran merupakan mukjizat dan panduan hidup yang relevan sepanjang zaman.

“Al-Quran adalah manual kehidupan yang memberi panduan dalam pelbagai aspek, termasuk kepimpinan, perniagaan, dan pembangunan diri.

“Jika benar-benar berpegang pada ajarannya, kita mampu menjadi lebih kuat dan bersatu sebagai ummah,” ujarnya. - Sinar Harian