[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
MALAYSIA

WSSF 2025 tumpu perubahan demografi, pasaran buruh, hijau dan teknologi

Kenyataan Media 24/06/2025 | 10:15 MYT
Sepanjang program berlangsung, Kuala Lumpur akan menjadi ibu kota keselamatan sosial dunia yang menghimpunkan pemimpin, pakar dan institusi dari seluruh pelusuk dunia.
KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan dunia apabila Kuala Lumpur bakal menjadi tuan rumah kepada World Social Security Forum (WSSF) 2025. Acara berprestij anjuran Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) ini akan berlangsung bermula 29 September hingga 3 Oktober 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Sepanjang program berlangsung, Kuala Lumpur akan menjadi ibu kota keselamatan sosial dunia yang menghimpunkan pemimpin, pakar dan institusi dari seluruh pelusuk dunia.
Forum edisi kali ini bertemakan "Shaping Social Security for a World in Transition", akan membincangkan cabaran serta peluang yang tersedia akibat perubahan demografi global, pasaran buruh yang dinamik, kemajuan teknologi dan usaha ke arah kelestarian – yang kesemuanya membentuk masa depan sistem keselamatan sosial.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam kenyataannya mengumumkan, WSSF 2025 bakal menjadi platform strategik bagi meneroka idea, idea futuristik dan inovasi dalam memperkasa sistem keselamatan sosial agar lebih relevan, inklusif dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global masa kini.
“Perkongsian pandangan daripada tokoh-tokoh antarabangsa dan pelopor keselamatan sosial amat bernilai, malah mampu menjadi pemangkin kepada reformasi sistem sosial yang bukan sahaja melindungi, tetapi juga memperkasa dan mengukuhkan daya tahan komuniti,” jelas PERKESO.
Forum ini dijangka dihadiri lebih 1,500 delegasi daripada 336 organisasi ahli ISSA merangkumi 164 negara, termasuk Menteri-menteri, barisan Ketua Pegawai Eksekutif, pakar teknikal dan wakil daripada organisasi antarabangsa.
Sementara itu, buat julung kalinya, Festival dan Anugerah Video Keselamatan Sosial Antarabangsa akan diperkenalkan bagi menonjolkan komitmen dalam mempromosikan keselamatan sosial. Anugerah Pencapaian Cemerlang ISSA turut akan disampaikan kepada negara yang mempamerkan kejayaan luar biasa dalam memperkukuh sistem keselamatan sosialnya.
Sepanjang lima hari program berlangsung, rencaman sesi plenari dengan lebih 80 sesi interaktif, bengkel panel, sesi tutorial dan Zon Inovasi ISSA akan diadakan, menjadikan forum ini satu pengalaman holistik dalam perkongsian ilmu dan memupuk kerjasama antarabangsa.
WSSF 2025 dianjurkan oleh Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA), dengan kerjasama penganjur bersama iaitu PERKESO dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ia turut disokong oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) selaku sekretariat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC).
Penganjuran ini mengukuhkan komitmen Malaysia dalam memperkemas sistem perlindungan sosial negara, selain mempertingkatkan peranan Malaysia sebagai rakan strategik global dalam agenda kesejahteraan sejagat. Ia juga membuka peluang unik untuk Malaysia mengetengahkan dasar dan inisiatif keselamatan sosial di pentas dunia.
Untuk makluman lanjut berkenan forum ini, layari laman sesawang www.issa.int/wssf2025
#WSSF 2025 #perkeso #World Social Security Forum #Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa #KLCC