SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa kesan kehadiran darah yang ditemukan pada satu serpihan papan berpadanan dengan profil asid deoksiribonukleik (DNA) spesimen darah A pada kad ‘Fast Track Analysis’ (FTA) berlabel Nazrin bin Hassan.

S. Jayasilan, 42, yang merupakan Ahli Kimia di Jabatan Kimia Malaysia, memaklumkan mahkamah bahawa padanan itu ditemukan apabila darah pada serpihan papan, yang merupakan eksibit kes MN9 dibandingkan dengan profil DNA spesimen darah A itu.

Saksi pendakwaan ke-43 itu berkata satu profil DNA lelaki telah diperoleh daripada kesan darah pada eksibit MN9 yang berpadanan dengan profil DNA spesimen darah A.

"Analisis itu dilakukan setelah pihak saya menerima eksibit MN9 daripada seorang anggota polis pada September 2018.

p"Ini menunjukkan bahawa DNA yang telah dikenal pasti berasal daripada sumber yang sama (kesan spesimen darah A)," katanya ketika membaca penyataan saksi di hadapan Halim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Beliau memberi keterangan dalam perbicaraan kes Samirah Muzaffar, 46, bekas eksekutif kanan yang juga isteri Nazrin, serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 14 tahun didakwa bersama seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, menyebabkan kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi pada 14 Jun 2018.

Katanya selain MN9, terdapat empat eksibit lain iaitu putik kapas J3, J4, J8 serta J14 yang menunjukkan kesan kehadiran darah serta mempunyai padanan DNA yang sama dengan spesimen darah A berlabel Nazrin bin Hassan.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA