Wujud pelanggaran SOP di Depot Tahanan Semuja - Uggah

Fadilah Sulaiman
Mac 20, 2021 12:08 MYT
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, siasatan sedang giat diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar peningkatan kes dari Depot Tahanan Semuja di Serian, Sarawak. -Gambar Fail
KUCHING : Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mendedahkan siasatan awal mendapati terdapat pelangaran prosedur operasi standard (SOP) di Depot Tahanan Semuja di Serian yang menjadi punca kenaikan kes di negeri itu.
Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bagaimanapun memberitahu, keadaan masih terkawal kerana kluster tersebut terasing daripada komuniti.
"Semalam (Jumaat), kadar kebolehjangkitan di Sarawak meningkat kepada 1.05 disebabkan lonjakan kes di depot tahanan tersebut.
"Sesetengah pihak memikirkan jangkitan kes yang tinggi di Sarawak adalah merata-rata. Tetapi bukan.
"Pusat tahanan itu mempunyai lebih 400 penghuni Orang Kena Tahan (OKT) yang berada didalam kawasan terkurung. Jadi mereka ini tidak dapat keluar dan sedang dikuarantin di situ.” katanya dalam sidang media COVID-19 di Kuching pada Sabtu.
Jelasnya, pihak JPBN Sarawak sedang giat menjalankan siasatan berhubung kluster itu.
"Kawasan itu memang ramai. Jadi, sekiranya mereka (OKT) dimasukkan ke depot berkenaan, kemungkinan individu itu dijangkiti adalah tinggi.
"Oleh kerana itu, apabila ianya berlaku, kita terus menghantar pasukan untuk menyiasat.
"Siasatan mendapati terdapat pelanggaran SOP, sebab itu kita teruskan siasatan lanjutan," tambah beliau.
Terdahulu pada Jumaat, Sarawak mencatatkan kes harian tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 407 kes.
Manakala, zon merah di negeri itu juga meningkat kepada 12 daerah, tiga daerah berstatus jingga, 17 daerah berstatus kuning dan lapan daerah berstatus hijau.
#JPBN Sarawak #Pengerusi JPBN #Datuk Amar Douglas Uggah Embas #Kluster Depot Tahanan Semuja Serian #Sarawak #pandemik #COVID-19