BERA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Kewangan (MoF) diminta mengadakan perbincangan bagi mewujudkan dana untuk membantu persatuan kebudayaan di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebanyakan persatuan kebudayaan berdepan kesukaran untuk menjalankan aktiviti mereka berikutan kekangan dana sehingga mengakibatkan banyak warisan kesenian dan kebudayaan semakin dilupakan generasi muda.

Beliau juga mahu lebih banyak program kebudayaan dilakukan di peringkat daerah sebagai acara mingguan, serta tempat khusus untuk memudahkan penggiat seni budaya membuat persembahan mereka.

“Saya minta supaya mungkin YB Nancy (menteri MOTAC) tengok bajet. Mungkin kurang tetapi bajet kita boleh bincang dengan Tok Pa (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) boleh bincang dengan Kementerian Kewangan (MoF) untuk kita tambahkan bajet di bawah MOTAC untuk dipertingkatkan dan diperkasakan pemainan rakyat dan budaya kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Program Merakyatkan Seni Budaya Komuniti Keluarga Malaysia 'Hogoh Bera 2021' di Dewan Utama Felda Kumai di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pada majlis itu, seramai 22 penggiat seni menerima Bantuan Prihatin Penggiat Seni dengan bantuan Insentif Seni diberikan kepada sembilan penerima, lima penerima Anugerah Penggiat Seni dan seorang penerima Anugerah Khas Seni.

Sementara itu, Nancy dalam ucapannya memaklumkan MOTAC dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pahang sedang melakukan siri kajian membabitkan kesenian negeri itu.

MOTAC juga sedang melakukan kajian berkaitan, antaranya perantisan Seni Silat Kura-Kura, Tarian Gamelan, Tarian Labi-Labi dan Seni Silat Lenggang ‘Mak Janda’.