KUALA LUMPUR: Senator Datuk Ras Adiba Radzi hari ini menggesa kerajaan agar mewujudkan dasar bagi membangunkan sistem kewangan yang lebih inklusif untuk memudahkan Orang Kurang Upaya (OKU) melakukan transaksi perbankan mereka.

Presiden OKU Sentral itu berkata peralihan kepada saluran dalam talian dan mudah alih mampu membantu meningkatkan kebolehcapaian kewangan bagi golongan itu, contohnya menghapuskan keperluan untuk ke lokasi secara fizikal.

"Kebanyakan industri perbankan tidak menyediakan kebolehcapaian digital yang mencukupi untuk OKU dan gagal memenuhi piawaian Capaian Kandungan Web, justeru saya menggesa kerajaan agar memperkenal dan melaksanakan Dasar Kewangan Inklusif: Capaian Kandungan Web bagi menangani isu yang berlaku dalam kalangan komuniti OKU," menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau turut menggesa agar usaha dilakukan oleh pihak yang berkaitan dengan inklusi kewangan yang terdiri daripada penyebaran kepada OKU, agensi mahupun pelanggan membabitkan langkah memperkukuh literasi kewangan dan prosedur untuk pelanggan melibatkan diri dengan aktiviti perbankan.

Ras Adiba berkata ini termasuk membina infrastruktur dan perkhidmatan perbankan yang mesra OKU.

"Isu kurang upaya merupakan isu rentas yang perlu ditangani secara menyeluruh dan dalam berbilang sektor serta memerlukan komitmen padu daripada pelbagai pihak untuk merealisasikan inklusi kewangan di Malaysia.

"Untuk melakukan penambahbaikan, kita perlu bersedia dan mampu mengukur keupayaan sendiri serta melihat di mana kekurangan kita, dan kebanyakan organisasi sedang berusaha meningkatkan kepelbagaian serta inklusi dalam banyak sektor," katanya sambil menambah Kementerian Kewangan perlu membantu menyelesaikan pelbagai cabaran yang dihadapi ketika ini dan pada masa akan datang.

Beliau berkata antara penyelesaian yang perlu diteliti oleh kerajaan ialah Kecerdasan Buatan (AI) dan chatbot untuk merapatkan jurang maklumat dengan membantu pelanggan menavigasi urusan perbankan menggunakan antara muka secara perbualan, pembayaran mudah alih dan dompet digital melalui teknologi biometrik bagi membolehkan keterangkuman dan keselamatan yang lebih baik dengan kelebihan menggunakan peranti peribadi berbanding peranti tempat jualan seperti kios.

Ras Adiba turut mencadangkan kesedaran nasional tentang pembangunan inklusif OKU serta teknologi pemprosesan bahasa semula jadi daripada teks kepada pertuturan bagi menyediakan penyelesaian untuk pelanggan yang mengalami masalah penglihatan dan pendengaran.

Beliau berkata demikian ketika meluahkan kekecewaan dengan insiden yang berlaku di Gurun, Kedah baru-baru ini di mana seorang wanita yang lumpuh dipaksa pergi ke sebuah bank dengan menaiki ambulans untuk memperbaharui kad ATM dan menyifatkan ia sebagai perkara yang tidak sepatutnya berlaku susulan keengganan pihak bank membantu memudahkan proses membuat kad baharu.

"Insiden ini menunjukkan ketidakpekaan sesetengah institusi secara keseluruhan dan membuktikan bahawa kemerdekaan tanah air kita belum sepenuhnya menjadi milik komuniti OKU di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA