Wujudkan dasar pengurusan stres kepada penjawat awam - Cuepacs

Bernama
Oktober 30, 2019 11:13 MYT
Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata banyak pekerja di negara ini yang mengalami stres sehingga menyebabkan pelbagai masalah seperti kemurungan dan tidak lagi dapat menjalankan tugas sebagai pejawat awam. - Gambar hiasan
Kerajaan hari ini digesa mewujudkan dasar pengurusan stres bagi membantu kakitangan awam yang menghadapi stres atau tekanan melampau di tempat kerja.
Menggesa demikian, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata banyak pekerja di negara ini yang mengalami stres sehingga menyebabkan pelbagai masalah seperti kemurungan dan tidak lagi dapat menjalankan tugas sebagai pejawat awam.
"Kita tahu bahawa stres ini sangat berbahaya dan ia juga akan menjejaskan kesihatan mental seseorang itu sehingga tidak waras dan tidak mampu lagi menyara keluarga seperti orang lain. Oleh itu saya berharap dasar pengurusan stres ini dapat digubal oleh kerajaan secapat mungkin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sektor Awam Peringkat Zon Sabah dan Labuan 2019, di sini hari ini.
Mengulas mengenai seminar berkenaan, Azih berkata seminar yang disertai 370 peserta melibatkan penjawat awam dari Sabah dan Labuan itu bertujuan memberi pendedahan mengenai kepentingan pelaksanaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.
"Seminar ini diadakan mengikut zon di seluruh Malaysia dan ini adalah kali ketiga selepas di Perlis dan Terengganu.
"Selepas ini iaitu esok seminar ini akan diadakan di Sarawak dan 13 Nov ini akan diadakan di Melaka," katanya.
-- BERNAMA
#Azih Muda #cuepacs #dasar pengurusan stres #kakitangan awam #kesihatan mental #Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam #penjawat awam #tekanan melampau #tekanan tempat kerja #tidak waras