Wujudkan koperasi pemborong untuk bantu kerajaan atasi kenaikan harga barang - PM

Astro Awani
Disember 12, 2021 06:47 MYT
Ismail Sabri (tiga, kanan) menyampaikan kereta tolak kepada penerima cabutan bertuah pada Perasmian Mesyuarat Agong Koperasi Pekebun Kecil Daerah Bera di Dewan Masjid Nurulsallam Kampung Batu Papan hari ini. - Foto BERNAMA
BERA: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) disaran berbincang bagi membantu kerajaan mengatasi kenaikan harga barang ketika ini dengan mewujudkan pemborong dalam kalangan koperasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemborong dalam kalangan koperasi boleh bertindak membeli barangan secara pukal dengan modal yang rendah dan membekalkannya kepada lebih 1,500 kedai runcit koperasi di seluruh negara dengan harga yang lebih rendah.
Ekoran itu, kira-kira 7 juta ahli koperasi di seluruh negara dan rakyat amnya, dapat menikmati harga yang rendah dengan membeli di koperasi-koperasi berhampiran mereka.
"Kalau boleh diwujudkan pemborong khas koperasi, mereka (koperasi) boleh beli secara pukal dan murah. Kalau dijual murah, sudah tentu lebih ramai akan memilih membeli dari koperasi dan ini membantu pendapatan koperasi," katanya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pekebun Kecil Daerah Bera di Kampung Batu Papan di sini hari ini.
Sementara itu Ismail Sabri turut menyatakan kesalnya terhadap tohmahan kononnya daging dan ayam yang diimport dari Thailand dan China adalah tidak halal.
Menurut beliau, kerajaan sebelum membenarkan import ayam dan daging, pihak Jakim akan melakukan lawatan ke negara tersebut bagi memastikan ianya disahkan bersih dan halal.
Katanya, cara penyembelihan mengikut hukum syarak, kebersihan di loji memproses serta pengangkutan menjadi syarat utama kerajaan dalam mengimport ayam.
"Sebelum kelulusan halal diberikan, Jakim akan pergi ke tempat itu untuk membuat pemeriksaan terlebih dahulu. Selepas dipastikan halal, barulah cop (logo) halal dikeluarkan...halal ini bukan hanya dari sudut sembelihan, namun banyak aspek lain dinilai termasuk kebersihan.
"Untuk proses halal, ia turut melibatkan aspek pengangkutan iaitu tidak boleh bercampur dengan barang yang tidak halal...sampai ke tahap itu kita pastikan halalnya kerana ini bukan isu yang boleh dibuat main," katanya.
Pada majlis itu SKM turut memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada Koperasi Pekebun kecil Daerah Bera Berhad.
#koperasi #ismail sabri yaakob #harga barang #Bera