[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Wujudkan kumpulan wang simpanan pekerja gig - Ketua Aktivis GEM

Irfan Faruqi 09/05/2025 | 13:30 MYT
Penunggang p-hailing merupakan sebahagian daripada pekerja ekonomi gig di Malaysia. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Gabungan E-hailing Malaysia (GEM) menuntut agar Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig membuka laluan kepada penubuhan kumpulan wang simpanan pekerja gig.

Ringkasan AI
  • Penubuhan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Gig: GEM menuntut agar RUU Pekerja Gig membuka laluan kepada penubuhan kumpulan wang ini untuk memastikan pekerja gig mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi bagi tempoh persaraan mereka. Perlindungan Sosial yang Sama: GEM juga menuntut agar RUU Pekerja Gig memberikan perlindungan yang sama kepada pekerja gig seperti yang diperuntukkan dalam Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) kepada pekerja bermajikan. Penguatkuasaan Segera: Terdapat desakan agar RUU Pekerja Gig ini diluluskan dan dikuatkuasakan secepat mungkin untuk memastikan kebajikan pekerja gig terpelihara melalui undang-undang, termasuk kewajipan caruman perlindungan sosial.

Ketua Aktivisnya, Jose Rizal berkata langkah itu bagi memastikan tempoh persaraan pekerja gig terjamin dengan simpanan yang mencukupi.
“Kita juga cadangkan agar kerajaan tubuhkan kumpulan wang simpanan penggiat gig agar kita tidak ganggu struktur sedia ada di bawah Akta 4. Kita mahu bina infrastruktur khusus untuk industri gig,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat.
Rizal turut menuntut agar RUU Pekerja Gig yang akan dibentangkan memberi perlindungan yang sama kepada penggiat seperti yang diperuntukkan dalam Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4] kepada pekerja bermajikan.
"Pada kami, hak yang diberikan kepada pekerja bermajikan di bawah Akta 4, sekurang-kurangnya kami dapat perlindungan yang sama. Sebenarnya kami mahu lebih, kalau boleh,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pekerja Professional Filem Malaysia (PROFIMA), Khalil Saleh pula mahu RUU Pekerja Gig itu segera diluluskan dan dikuatkuasakan bagi memastikan aspek kebajikan pekerja gig dapat dipelihara melalui penguatkuasaan undang-undang.
"Kita mahu RUU Pekerja Gig ini diluluskan secepat mungkin dan boleh digunakan (berkuatkuasa) tahun ini juga.
"Kita berdepan banyak pertikaian dengan majikan. Contohnya, tentang kontrak, masa dan keselesaan kerja.
"Kita juga mohon agar caruman perlindungan sosial diwajibkan, akhirnya hanya digalakkan sahaja. Apabila digalakkan sahaja secara sukarela, tidak akan menjadi,” katanya.
Pada 1 Mei lalu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengesahkan RUU Pekerja Gig bakal dibentang pada sidang Parlimen terdekat.
Menurutnya, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah menjalankan kajian mendalam dan sesi libat urus melibatkan lebih 3,000 pemegang taruh termasuk pekerja, penyedia platform dan pakar industri bagi memastikan RUU tersebut benar-benar mencerminkan realiti serta keperluan semasa.
Menurut laporan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), setakat 2024, terdapat 232 penyedia platform ekonomi gig yang telah berdaftar dan disahkan MDEC.
Manakala, 1.12 juta orang rakyat Malaysia terlibat dalam ekonomi berkenaan.
Dialog Poket Rakyat: RUU Pekerja Gig 2025: Hak dan perlindungan dalam ekonomi baharu
#MDEC #pekerja gig #KESUMA #KWSP