Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini mencadangkan agar individu yang diisytihar muflis, bankrap dan disenaraihitam oleh insititusi kewangan diberi peluang kedua keluar dari kemelut kebankrapan melalui pelepasan automatik selepas tempoh tertentu.

Ketua pergerakan itu Khairy Jamaluddin berkata amalan tersebut dilaksanakan di beberapa negara luar bagi membantu golongan itu agar tidak terus dibebani kepayahan membuat pinjaman dan disekat untuk ke luar negara umpamanya.

"Pelepasan automatik perlu diberikan selepas tempoh tertentu. Di luar negara, ada yang menetapkan diberi pelepasan ini selepas satu hingga tiga tahun (diisytihar bankrap).

"Cadangan ini diharap dapat dimasukkan dalam pindaan Akta Bankrap 1967 yang saya difahamkan sedang dalam peringkat akhir untuk digubal sebelum dihantar ke Peguam Negara.

"Akta yang ada ketika ini terlalu ketat kepada mereka yang teraniaya ibarat pesalah yang menerima hukum mati ekonomi," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Forum Muflis@Bankrap di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Pada Perhimpunan Agung Umno tahun lepas, Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi komitmen bahawa undang-undang kebangkrapan sedia ada akan dikaji dan dirombak bagi melepaskan individu dari kemelut kebankrapan.

Khairy berkata cadangan itu bagaimanapun perlu diteliti dan dikaji supaya golongan muflis dan bankrap itu tidak menyalahgunakannya sehingga wujud unsur penipuan.

Pemuda Umno juga mencadangkan agar satu insurans perlindungan khas diwujudkan kepada penjamin dalam pindaan akta tersebut agar tidak lagi teraniaya menanggung beban orang yang berhutang, katanya.

Katanya ketika ini institusi kewangan akan membekukan atau menyita aset dan harta penjamin demi melunaskan hutang pemiutang dan perkara itu menjejaskan ekonomi dan kehidupan penjamin.

"Mereka juga terpaksa menanggung pelbagai kos termasuk kos guaman," katanya.

"Daripada 2005 hingga Mac tahun lepas, terdapat 243,823 orang muflis dan jumlah itu menunjukkan peningkatan 45 peratus dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.
"Sehubungan itu Jabatan Insolvensi dan agensi berkaitan perlu lebih agresif dalam membuat publisiti dan mendidik orang ramai supaya menguruskan kewangan dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, resolusi mengandungi cadangan dan langkah pencegahan muflis daripada peserta forum yang pernah muflis akan dihantar kepada Kementerian Kewangan dan juga kepada Perdana Menteri.