KUALA LUMPUR : Polisi tertentu perlu diwujudkan bagi memastikan pekerja warga asing di negara ini diberikan ubat antimalaria.

Pakar kesihatan awam, Prof Malina Osman menjelaskan, langkah itu bagi mengelakkan penularan penyakit malaria dalam kalangan masyarakat tempatan.

"Saya mengesyorkan, pekerja asing ini, perlu ada polisi untuk memberikan mereka ubat antimalaria bagi mengelakkan jangkitan dan di tempat pedalaman Orang Asli menggunakan kaedah seperti kelambu berubat untuk mengelak digigit nyamuk, ini boleh dilaksanakan bagi mengelak penularan," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat. 

BACA: Pulau Pinang hadapi kemelut Urban Malaria kerana kebanjiran warga asing

Secara umum, katanya malaria di Malaysia tidak seperti  20 ke 30 tahun lepas.

"Maksudnya pada ketika itu banyak kes malaria dilaporkan. Namun, hari ini taburan kes malaria tertumpu kepada tempat-tempat tertentu yang mana mungkin ada malaria yang disebabkan daripada haiwan seperti monyet dan urban malaria. 

"Urban malaria ini banyak melibatkan pekerja-pekerja asing yang mana masuk ke negara kita dan diketahui mereka ini mungkin tidak disaring sebaiknya sehingga menyebabkan berlakunya wabak di sesuatu tempat," ujarnya. 

Tambah beliau, apa yang perlu difahami ialah, Malaysia sentiasa mempunyai vektor iaitu nyamuk anopheles yang bersedia untuk menularkan malaria.

"Jadi ada keadaan, ada individu yang membawa parasit itu ke sesuatu tempat, maka penyakit berkenaan boleh dijangkitkan kepada penduduk tempatan,"tambahnya. 

Dr Malina turut menasihatkan penduduk tempatan agar menjaga kebersihan alam sekitar bagi mengekang pembiakan nyamuk anopheles.

Dalam masa sama, mereka yang mempunyai masalah kesihatan disaran membuat pemeriksaan bagi melakukan pencegahan awal.

"Jadi saringan kesihatan memang perlu dilaksanakan bagi membolehkan mereka yang tidak mempunyai gejala ini dapat dikesan awal. Kalau mereka ini dapat dikesan, maksudnya kita dapat mencegah daripada ditularkan kepada masyarakat tempatan.

"Di samping itu, saya menasihatkan semua penduduk tempatan menjaga kebersihan alam sekitar sebab nyamuk anopheles  ini boleh membiak di tempat yang agak luas. Banyak spesis yang bertanggungjawab menularkan malaria ini dan tidak seperti nyamuk aedes yang terhad kepada air bersih sahaja.

"Nyamuk anopheles ini boleh membiak dalam banyak keadaan persekitaran. Jadi perlu jaga persekitaran dan dalam masa sama, kalau ada masalah kesihatan perlu dapat rawatan," kata beliau lagi.