Syarikat teknologi gergasi Apple telah memperkenalkan sistem operasi baharu bagi semua produk mereka.

Antaranya ialah iPadOS, macOS Catalina dan SwiftUI.

Ini diumumkan di Persidangan Pembangun Perisian Sedunia (WWDC) di San Jose, California, Amerika Syarikat.

TERKUBURNYA ITUNES

Dengan pengenalan macOS versi ke-15 yang dinamakan Catalina, terdapat beberapa aplikasi yang akan ditamatkan termasuk iTunes.

Catalina menggantikan iTunes dengan tiga aplikasi baharu – Music, TV dan Podcasts – yang memudahkan cara pengguna menggunakan komputer Mac mereka.

Aplikasi Sidecar pula membolehkan pengguna menjadikan iPad mereka sebagai skrin tambahan kepada skrin komputer Mac mereka. Ini juga membolehkan skrin iPad itu digunakan sebagai input Apple Pencil sekiranya aplikasi berkenaan ada.

APLIKASI CARIAN 'FIND MY' DISATUKAN

Melalui Catalina, aplikasi 'Find My iPhone' telah disatukan untuk menjadi aplikasi 'Find My' iaitu sebuah aplikasi universal bagi membolehkan pengguna mencari peranti mereka dengan mudah. 'Find My' juga boleh digunakan untuk mencari lokasi kawan atau ahli keluarga sekiranya fungsi itu diaktifkan.

PERKAKASAN BAHARU – MAC PRO

Lazimnya, WWDC tidak menyaksikan pengenalan perkakasan baharu tetapi kali ini, Apple mengambil kesempatan untuk mengumumkan bahawa produk Mac Pro telah dikemaskini.

Mac Pro versi asas akan dipasarkan pada musim luruh ini dengan harga AS$5,999.

Mac Pro dikemaskini sepenuhnya dari segi reka bentuk hingga ke perisian mereka. Komputer ini adalah antara komputer yang paling terkini dari segi dalamannya di pasaran.

Mac Pro dicipta untuk golongan pengguna yang profesional, termasuk jurugambar, ahli muzik serta penggemar video. Mac Pro ini didatangkan dengan ciri-ciri prestasi tinggi, serta keupayaan untuk pengguna menambah kad memori tambahan kerana adanya lapan slot PCIe kosong.

Kad grafik Mac Pro serta fungsi lain juga adalah ciri tertinggi di pasaran kini.

PRO DISPLAY XDR

Apple juga mengumumkan skrin yang termaju di pasaran. Dinamakan Pro Display XDR, skrin ini datang dengan 32-inci retina 6K, dengan paparan resolusi tinggi.

Pro Display XDR dijual dengan harga AS$4,999.

KEMAS KINI IPHONE MELALUI iOS13

Antara ciri terbaharu iOS13 termasuk mod gelap, cara baru menyunting gambar di 'Photos' serta mengakses aplikasi melalui 'Sign In With Apple' dengan lebih selamat.

Aplikasi pemetaan Apple Maps juga dinaik taraf.

APPLE WATCH, IPAD KINI LEBIH BEBAS

Pengisian Apple Watch iaitu watchOS turut diberi penambahbaikan. Ia termasuk muka jam baharu, penambahan aplikasi jam baharu seperti Voice Memos, kalkulator dan buku audio.

Paling menarik, jam Apple Watch kini tidak memerlukan aplikasi peranti iPhone untuk mengakses App Store, selain boleh mengesan bunyi kuat yang datang dari lokasi setempat.

Selain itu, iPad juga diberi nafas baharu dengan sistem operasinya tersendiri, iPadOS.

Sebelum ini, sebuah laporan yang dikeluarkan oleh IDC, sebuah firma penyelidikan pemasaran dunia, memperlihatkan Apple masih mendahului tangga teratas untuk segmen peranti boleh-pakai atau wearables dengan pegangan pasaran sebanyak 25.8 peratus.

Dengan penambahbaikan sistem pengendalian watchOS, ini dilihat sebagai sebuah inisiatif syarikat Apple dalam usaha menperkukuhkan lagi pegangan saham pasaran untuk segmen produk ini.

APPLE KUKUH?

WWDC tahun ini dihadiri oleh lebih 5,000 orang yang terdiri daripad pembangun perisian, penggemar teknologi, pengamal media dan pemegang biasiswa WWDC Scholars.

WWDC biasanya diadakan pada minggu pertama setiap Jun di ibu pejabat syarikat Apple di San Jose, California.

Ia memberikan tumpuan khusus kepada perisian produk Apple dan bukan perkakasan.