Terkini: Kes Pelajar Jatuh dari Asrama di Sabak Bernam – Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

WZWF2025 salurkan 40 peratus daripada dana kepada Sarawak

Pia Ernadya 27/08/2025 | 12:45 MYT
Datuk Mohd Na’im, menerima cek daripada Datuk Azlan Shahrim pada Majlis Serahan Cek Cura Tajaan dan Sidang Media Penganjuran Mesyuarat Tahun ke 14 dan WZWF 2025. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Persidangan Antarabangsa World Zakat and Waqf Forum (WZWF) 2025 akan menyalurkan sebanyak 40 peratus daripada dana penajaan forum kali ke-14 kepada Majlis Islam Sarawak bagi tujuan pembangunan wakaf.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Ridzwan Bakar, setakat ini sejumlah RM255,000 berjaya dikumpulkan melalui sumbangan lapan penaja utama.

"Insya-Allah lebih banyak dana kita dapat, lebih banyak kita boleh agihkan," katanya pada sidang media WZWF 2025 di sini, hari ini.

Antara penaja adalah Kumpulan MBSB, YWM, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), BERNAS, Malaysian Kuwaiti Investment Co. Sdn Bhd (MKIC), Pusat Pungutan Zakat – MAIWP (PPZ-MAIWP) serta Yayasan Infaq ANGKASA.

WZWF 2025 akan berlangsung dari 13 sehingga 15 Oktober depan di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching, Sarawak.

Ridzwan menjelaskan, Malaysia berusaha keras membawa penganjuran forum itu ke tanah air selepas edisi 2024 di Jakarta, sejajar peranan negara sebagai pengerusi ASEAN.

“Apabila kami berjaya bawa WZWF ke Malaysia, kami teliti negeri paling sesuai untuk mengangkat agenda zakat dan wakaf, dan akhirnya Sarawak dipilih.

“Tahun ini, insya-Allah, Sarawak juga akan melancarkan Yayasan Waqaf Sarawak, maka kami melihat ia peluang terbaik untuk negeri ini menjadi tuan rumah,” jelasnya.

Tambahnya, menerusi forum WZWF kali ini, sebanyak 40 peratus daripada nilai penajaan akan disalurkan kepada Majlis Islam Sarawak bagi memperkukuh pembangunan wakaf di negeri berkenaan.

“Kalau kita tengok program-program persidangan lain, kebanyakannya dianjurkan oleh individu atau syarikat dengan keuntungan untuk syarikat itu sendiri.

“Tetapi konsep wakaf ini berbeza. Sebab itu kita tetapkan sasaran bahawa 40 peratus daripada keseluruhan dana tajaan akan diperuntukkan untuk tujuan wakaf.

“Cuba bayangkan kalau kita mampu adakan WZWF di setiap negeri dan setiap tahun, berapa banyak negeri yang akan mendapat manfaat?” soalnya.


#ASEAN #wakaf #sasaran #penaja utama