X perketat kawal selia Grok, tidak boleh hasilkan kandungan lucah lagi - Fahmi

X hari ini mengesahkan ciri penyuntingan imej dan penjanaan video melalui chatbot AI Grok melibatkan kandungan memudaratkan berunsur lucah, seksual dan sumbang telah dikawal selia dan tidak lagi boleh disalahgunakan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Platform media sosial X hari ini mengesahkan ciri penyuntingan imej dan penjanaan video melalui chatbot kecerdasan buatan (AI) Grok melibatkan kandungan memudaratkan berunsur lucah, seksual dan sumbang telah dikawal selia dan tidak lagi boleh disalahgunakan.
Ringkasan AI
- Platform media sosial X mengesahkan ciri penyuntingan imej dan penjanaan video melalui chatbot AI Grok yang mengandungi kandungan memudaratkan telah dikawal selia, tidak boleh disalahgunakan, dan tidak lagi boleh menghasilkan kandungan lucah atau tidak sopan.
- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan pengesahan ini selepas pertemuan dengan wakil platform X bagi rantau Asia Pasifik di Menara Komunikasi. Beliau menyatakan kerajaan mengalu-alukan tindakan platform X untuk memastikan platform lebih selamat.
- MCMC melaporkan permohonan penurunan kandungan di platform X berkurangan 50 peratus. Fahmi mengarahkan pasukannya menjalinkan kerjasama rapat dengan platform X bagi memastikan persekitaran Internet lebih selamat, terutamanya untuk kanak-kanak dan keluarga.
"Pengesahan ini dibuat (X) dan yang hadir dalam mesyuarat selain saya sendiri (ialah) Timbalan Menteri (Teo Nie Ching) dan pegawai kanan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)," katanya kepada Bernama selepas pertemuan itu.
Fahmi berkata penjelasan lanjut berhubung perkara itu akan dimaklumkan dalam Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada persidangan Dewan Rakyat esok.
Beliau berkata kerajaan amat mengalu-alukan kehadiran pihak X yang datang ke Putrajaya khusus untuk berbincang mengenai perkara berkenaan.
Selain itu, Fahmi berkata pihak X turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Komunikasi dan MCMC dalam inisiatif Kempen Internet Selamat, termasuk usaha memastikan platform berkenaan lebih selamat untuk semua lapisan masyarakat.
"Jadi di situ saya lihat di pihak pengurusan X, mereka menyatakan kesungguhan untuk pastikan platform X menjadi lebih selamat dan akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk Kementerian Komunikasi dan juga MCMC," katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata laporan semasa MCMC menunjukkan permohonan penurunan kandungan di platform X berada pada kadar 50 peratus setakat hari ini, yang disifatkan sebagai angka pertengahan.
"Jumlah itu tidak terlalu banyak kalau nak dibandingkan dengan beberapa platform lain. Tapi ia tidak bermaksud tidak ada masalah dalam platform tersebut. Jadi saya lihat ini satu perkembangan yang positif," katanya.
Fahmi berkata beliau turut mengarahkan pasukannya supaya mewujudkan jaringan kerjasama yang lebih erat dengan pihak X bagi memastikan persekitaran Internet lebih selamat, khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga.
Pada 11 Jan lepas, MCMC mengarahkan sekatan sementara terhadap akses kepada AI Grok bagi pengguna di Malaysia susulan penyalahgunaan Grok berulang kali untuk menjana kandungan lucah dan kandungan seksual eksplisit.
Susulan itu, Fahmi dilaporkan berkata MCMC sedang meneliti tindakan perundangan terhadap platform X susulan kegagalan aplikasi AI miliknya, Grok, mematuhi undang-undang Malaysia berkaitan keselamatan dalam talian.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


