Pemberi maklumat warga Switzerland, Xavier Andre Justo yang membantu mendedahkan isu salah laku 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah meninggalkan Malaysia.

Melalui sebuah pesanan WhatsApp yang dihantar beliau kepada Astro AWANI, beliau menyatakan sebab beliau membuat keputusan meninggalkan Malaysia adalah kerana risau tentang keselamatan keluarganya berikutan perubahan kerajaan pusat baru-baru ini.

"Kepada semua rakan Malaysia yang kami cintai, dengan rasa rendah diri, dan penuh kesedihan (saya serta keluarga) terpaksa meninggalkan negara yang kami cintai ini.

"Kami telah banyak menderita dan tidak mampu untuk mengambil risiko dalam memperbahayakan diri kami dengan terus berada di negara ini.

"Kami kini sudah selamat sampai di Switzerland, tetapi hati dan jiwa kami tetap bersama anda semua," ujar beliau.

Justo juga menyatakan keyakinannya bahawa Malaysia akan bangkit dengan kerajaan yang demokratik, dan ingin mengucapkan terima kasih kepada kesemua orang yang telah membantu dia dan keluarganya.

"Semoga Tuhan memberkati kamu semua," Justo menambah.

Sebelum ini, Justo telah menjadi watak penting dalam mendedahkan isu 1MDB dan telah menjadi saksi penting dalam siasatan 1MDB.

Pada 1 Februari 2019, Justo menerima AS$2 juta (RM8.2 juta) daripada Pengerusi Kumpulan Media The Edge, Datuk Tong Kooi Ong sebagai ‘hadiah’ atas bantuannya mendedahkan isu salah laku 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Wawancara Eksklusif Xavier Justo Bersama Astro AWANI pada tahun 2018