NATIONAL
Xi Jinping tiba di Malaysia untuk lawatan negara tiga hari
Xi Jinping tiba di ibu negara petang Selasa bagi memulakan lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia. - Foto PMO
PUTRAJAYA: Presiden China, Xi Jinping tiba di ibu negara petang Selasa bagi memulakan lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Lawatan sehingga Khamis itu adalah atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Kali terakhir beliau mengadakan lawatan ke Malaysia adalah pada 2013 dengan kedua-dua negara meningkatkan hubungan diplomatik ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif.
Pesawat Air China yang membawa beliau mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.30 petang.
Ketibaan Xi disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Presiden China itu kemudian memeriksa kawalan kehormatan utama terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai Leftenan Mohamad Nafis Norshid.
Suasana sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan menampilkan irama tradisional Melayu, Cina dan India oleh kumpulan Arjunasukma dari Gombak.
Majlis diserikan lagi dengan persembahan pancaragam oleh 32 pelajar dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua, Kajang yang mempersembahkan lagu Lenggang Kangkung dan Sejahtera Malaysia.
Dalam lawatan ini, Xi dan Anwar dijangka menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU), perjanjian dan nota kerjasama antara Malaysia dan China, meliputi pelbagai bidang strategik.
Perdana Menteri juga dijadualkan menghoskan majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya sebagai penghormatan kepada Presiden Xi.
Hubungan diplomatik antara Malaysia dan China telah terjalin sejak 31 Mei 1974 dan tahun lalu kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala yang kukuh. Sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut.
Pada tahun 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan China mencecah RM484.12 bilion, merangkumi 16.8 peratus daripada keseluruhan dagangan global Malaysia sebanyak RM2.879 trilion.
Sebagai Pengerusi ASEAN dan negara penyelaras bagi hubungan dialog ASEAN-China, Malaysia kekal komited untuk terus memajukan perkongsian strategik komprehensif antara ASEAN dan China.