Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
GADGETS

Xiaomi kuasai pasaran telefon pintar Asia Tenggara pada Q2 2025

Amanz 14/08/2025 | 04:30 MYT
Xiaomi mendahului pasaran dengan 4.7 juta unit, diikuti TRANSSION, Samsung, OPPO dan Vivo, dengan Honor mencatat lonjakan tertinggi sebanyak 121%. -Amanz
PASARAN telefon pintar di Asia Tenggara mencatatkan penurunan sebanyak 1% tahun ke tahun pada Q2 2025 dengan jumlah penghantaran mencecah 25 juta unit menurut laporan Canalys.


Ringkasan AI
  • Pasaran telefon pintar Asia Tenggara menurun 1% pada Q2 2025 dengan jumlah penghantaran sebanyak 25 juta unit.
  • Xiaomi mendahului pasaran dengan 4.7 juta unit, diikuti TRANSSION, Samsung, OPPO dan Vivo, dengan Honor mencatat lonjakan tertinggi sebanyak 121%.
  • Ketidaktentuan ekonomi dan strategi promosi seperti jualan di TikTok Shop mempengaruhi prestasi jenama, dengan penguasaan pasaran berbeza mengikut negara.


Xiaomi kembali menduduki tangga teratas sejak Q2 2021 dengan penghantaran sebanyak 4.7 juta unit dan penguasaan pasaran sebanyak 19%.

Prestasi ini didorong oleh jualan yang memberangsangkan untuk siri Redmi.

TRANSSION pula mencatatkan pertumbuhan tahunan tertinggi dalam kalangan lima jenama teratas dengan peningkatan sebanyak 17% kepada 4.5 juta unit dan bahagian pasaran sebanyak 18%.

Samsung berada di kedudukan ketiga dengan penguasaan pasaran sebanyak 17%, meskipun mengalami penurunan sebanyak 3%.

Permintaan terhadap peranti 5G jenama itu kekal tinggi di pasaran seperti Vietnam dan Singapura, yang turut disokong oleh nilai tambah pada model Galaxy A06 5G dan A16 5G.

OPPO (tidak termasuk jenama OnePlus) menduduki tempat keempat dengan penghantaran sebanyak 3.5 juta unit dan bahagian pasaran sebanyak 14% dengan penurunan sebanyak 19% berikutan persaingan sengit dalam segmen permulaan.

Vivo pula berada di kedudukan kelima dengan penguasaan pasaran sebanyak 11% yang turut mengalami penurunan sebanyak 21% tahun ke tahun.

Walaupun begitu, Vivo menunjukkan momentum positif dalam segmen peranti kelas pertengahan khususnya menerusi siri V.

Ketidaktentuan tarif dan turun naik mata wang, terutamanya kelemahan dolar AS terus memberi kesan terhadap kuasa beli pengguna dan harga runcit.

Keadaan ini memaksa pengeluar menyesuaikan strategi harga dan promosi bagi mengekalkan daya saing.

Xiaomi memanfaatkan platform TikTok Shop untuk menjual model eksklusif pada harga lebih rendah, selain melaksanakan strategi pengosongan inventori lama melalui diskaun dan jualan langsung.

Pendekatan ini membuka peluang besar kepada mereka dalam pasaran yang semakin kompetitif.

Honor turut mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan penghantaran melebihi satu juta unit pada suku tersebut. Ia menunjukkan lonjakan sebanyak 121 peratus tahun ke tahun.

Permintaan tinggi terhadap siri Honor X9c dan Honor 400 sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan kukuh jenama itu.

Dari segi penguasaan pasaran mengikut negara, Xiaomi mendahului di Malaysia dan Indonesia dengan masing-masing sebanyak 20% dan 21%.

Di Filipina, TRANSSION menguasai pasaran Filipina dengan 37%, manakala OPPO menduduki tangga teratas di Thailand dengan 22%. Samsung pula memegang pasaran Vietnam dengan penguasaan sebanyak 26%. -Amanz






#Pasaran telefon pintar #Asia Tenggara #Xiaomi #penguasaan pasaran