GADGETS

Xiaomi mungkin tidak lancar cip pemprosesan tersendiri setiap tahun seperti Apple

Amanz 29/09/2025 | 05:00 MYT
Xiaomi memperkenalkan cip XRING01 sebagai permulaan baharu dalam pembangunan cip tersendiri, dengan pelaburan RMB50 bilion untuk tempoh 10 tahun. -Foto Amanz
XIAOMI pada tahun ini telah mengumumkan cip pemprosesan untuk peranti, dinamakan XRING01. Ia hadir selepas sekitar lapan tahun sejak Xiaomi perkenalkan cip pemprosesan mereka tersendiri, Surge S1.


Ringkasan AI
  • Xiaomi memperkenalkan cip XRING01 sebagai permulaan baharu dalam pembangunan cip tersendiri, dengan pelaburan RMB50 bilion untuk tempoh 10 tahun.
  • Cip XRING01 digunakan dalam Xiaomi 15S Pro dan Xiaomi Pad 7 Ultra, namun pengeluaran besar diperlukan untuk elak kerugian.
  • Xiaomi masih bergantung kepada cip MediaTek dan Qualcomm, dan tidak merancang keluarkan cip baharu setiap tahun seperti Apple.


Pengenalan keluarga XRING merupakan permulaan baharu Xiaomi, malah CEO Xiaomi mengatakan akan melabur RMB50 bilion untuk tempoh 10 tahun dalam pembangunan cip pemprosesan tersendiri.

Terbaharu, berkongsi berkaitan dengannya bersama CNBC, Xiaomi mengatakan sedang merancang pembangunan cip telefon generasi baharu dan versi seterusnya untuk XRING02.

Namun, Xiaomi mengatakan untuk peringkat awal ini, mereka tidak akan mengeluarkan cip pemprosesan tersendiri setiap tahun, seperti yang dilakukan Apple.

Setakat ini, sekitar 1 juta unit XRING01 telah dikeluarkan dan menjana peranti seperti telefon dan juga tablet Xiaomi.

Namun, untuk mencapai pulangan modal, sebanyak 10 juta unit cip perlu dikeluarkan untuk setiap edisi – sekali gus menjadikannya salah satu cabaran besar dalam penggunaan cip berkenaan.

Dua peranti yang hadir dengan cip XRING01 adalah Xiaomi 15S Pro dan juga tablet Xiaomi Pad 7 Ultra.

Pelbagai syarikat memilih untuk membangunkan cip tersendiri dalam usaha membolehkan mereka lebih mengoptimasikan perisian dan sistem operasi, selain mengawal jadual pengenalan peranti setiap tahun tanpa bergantung kepada pihak lain.

Buat masa ini, Xiaomi tidak melakukan peralihan sepenuhnya untuk penggunaan cip, dan masih bergantung kepada cip MediaTek dan Qualcomm.

Malah, siri Xiaomi 17 yang diperkenalkan baru-baru ini adalah dikuasakan cip Snapdragon generasi terbaharu. -Amanz






#Apple #Xiaomi #cip XRING01 #pembangunan cip tersendiri