DREBAR
XLR8. Festival pemotoran pertama Astro Digital Publications berjalan lancar

Acara festival pemotoran pertama anjuran Astro Digital Publications XLR8 telah berjalan dengan jayanya pada 2 Oktober hingga 4 Oktober lepas. Diadakan serentak dengan pameran kereta klasik Asia Klasika di Hotel Pullman Putrajaya, ia telah menarik perhatian dari semua peringkat umur dan latar belakang.
Ia bermula dengan Gala Platinum pada malam pertama di mana wakil daripada Petronas selaku penaja rasmi utama XLR8 telah melancarkan acara ini. Di sini juga para tetamu telah dihiburkan dengan persembahan daripada penyanyi-penyanyi terkenal seperti Jaclyn Victor, Vince Chong dan Dayang Nurfaizah. Muzik pula dikendalikan oleh Audrey Suwito. Turut hadir adalah Jean Alesi, bekas pemandu F1 bagi pasukan Ferrari.
Mercedes-Benz Malaysia turut memeriahkan suasana dengan menampilkan kemunculan pertama antara dua model terbaharu mereka iaitu C 63 S dan CLA Shooting Brake (yang terhad kepada 10 unit sahaja di negara ini).
Keesokan harinya pengunjung mula tiba; pameran kereta klasik menjadi tumpuan pertama dan ramai kelihatan terpegun dengan berbagai-bagai kereta yang begitu berbeza dengan apa yang ada sekarang. Namun begitu banyak kali juga penulis tersentap kerana rata-rata pengunjung tidak kisah untuk menyentuh ataupun bersandar pada jentera-jentera ini. Dah namanya kereta klasik, lebih-lebih lagi yang sudah dikembalikan kepada keadaan ‘asal’ seperti ini, ia semua memerlukan pengorbanan duit dan masa. Kalau tercalar, atau ada kerosakan, siapa yang terkesan?
Ambil contoh Mercedes-Benz 500K (daripada tahun 1934!) di bawah. Mungkin bagi ramai orang ia nampak unik dan ada juga mungkin akan komen, “Sesuai buat prop sesi bergambar pre-wedding ni”, tetapi sudah tidak banyak yang ada, terutamanya pada keadaan ini. Ia juga mempunyai sejarah yang panjang. Kos dan masa yang dilaburkan untuk restorasi bukan main lagi. Kalau anda nak beli, harganya melebihi RM20 juta. Boleh?
Dalam pada itu, keadaan jerubu pada hari tersebut memang menjadi masalah besar. Berjalan ke kawasan lapang di sebelah Pullman, di mana demonstrasi Tarmac Warriors oleh juara rali lagenda Malaysia Karamjit Singh dilangsungkan, penglihatan terjejas agak teruk.
Namun bukan mudah untuk melihat aksi Karamjit mengemudi model-model berkuasa tinggi Mercedes-AMG. Berbekalkan 355hp dan bunyi ekzos yang cukup mengujakan, ramai orang yang berpeluang menjadi penumpang ketika Karamjit melalui halangan slalom itu pada kelajuan tinggi.

Turut popular di kalangan pengunjung adalah dewan yang menempatkan kereta-kereta ikon daripada layar perak dan televisyen termasuk KITT (Knight Rider) dan van A-Team. Di sekitar kawasan ini juga terdapat khemah-khemah Petronas, DMAX, MyMotors, Kurnia Malaysia dan Falken.
Tidak jauh dari situ juga dilangsungkan acara King of Clubs yang diadakan buat kali kedua. Untuk menentukan kelab kereta yang terbaik diantara yang bertanding, ahli-ahli kelab perlu membuktikan kecekapan mereka di dalam bukan sahaja pemanduan, tetapi juga mengendalikan kereta kawalan jauh dan menukar tayar kereta.
Di XLR8 juga anda dapat melihat kepelbagaian pengusaha food truck di Lembah Klang. Sukar hendak memilih mana satu yang nak dibaham kerana pilihan makanan yang luas, daripada menu tempatan hinggalah ke barat.
Keadaan cuaca dan jerubu menjadi semakin baik pada hari Ahad, serentak dengan kunjungan Sultan Johor, Sultan Ibrahim, selaku Penaung Diraja Asia Klasika.
Selain daripada melihat pelbagai jenis kenderaan moden dan klasik, menikmati hidangan dari food truck yang terlibat dan merasai pengalaman menjadi penumpang kepada Karamjit Singh di dalam sebuah jentera Mercedes-AMG, ramai juga mengambil peluang untuk membeli produk yang dijual oleh selebriti-selebriti tempatan seperti Mizz Nina, pasangan Scha dan Syawal, serta Rita Rudaini.