Masyarakat harus yakin terhadap kecekapan polis mengendalikan kes jenayah terancang, seperti kejadian pembunuhan seorang anggota kongsi gelap di Taman Pelangi, di sini, Ahad lepas, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata polis mempunyai taktik sendiri dalam menanganinya dan ia tidak perlu diperkotak-katikkan sesetengah pihak.

"Kecekapan polis tidak perlu diragui, sebab itu sehingga kini banyak pihak (suspek) yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan di Taman Pelangi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Transformasi Sosial (PTS), di Taman Tampoi Utama, di sini hari ini.

Ahad lepas, seorang anggota kongsi gelap berusia 40-an tahun maut selepas ditikam, dilanggar dan digilis oleh empat suspek lelaki menggunakan sebuah kereta di sebuah stesen minyak, ketika dia sedang berhenti untuk mengisi angin tayar kenderaannya.

Setakat ini, 14 individu melibatkan empat wanita dan 10 lelaki berumur 16 hingga 26 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA