'Yang buat jajaran baharu tak kena, yang bersuara pula kena tindakan' - Tun Faisal

Astro Awani
Mac 28, 2021 13:29 MYT
Tun Faisal berkata, beliau pelik dengan hukuman enam tahun tersebut kerana sebelum ini ada pemimpin lain mengkritik presiden namun tidak dikenakan tindakan sedemikian. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mempersoalkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menggantung keahliannya selama enam tahun.
Tegasnya, beliau pelik dengan hukuman enam tahun tersebut kerana sebelum ini ada beberapa pemimpin mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan lebih keras namun tidak pula dikenakan tindakan sebegitu.
Menurutnya, apa yang disuarakan sebelum ini berupa cadangan kepada Ahmad Zahid dan bukannya kritikan.
“Ramai lagi sebenarnya yang buat kritikan terbuka yang lebih teruk kepada presiden tapi tiada tindakan. Saya bagi contoh-contoh yang ada... termasuklah kenyataan terbuka daripada timbalan presiden, ahli MKT...
“Malah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sendiri mendesak presiden berehat. Bila presiden ambil pandangan itu, imej beliau lebih baik dan imej parti juga menjadi lebih baik.
“Kita menang Pilihan Raya Kecil (PRK) berturut-turut selepas itu. Pandangan saya itu kalau diambil kira, mungkin akan beri imej baik kepada presiden dan UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media semasa menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.
BACA: Tun Faisal digantung keahlian UMNO 6 tahun
AWANI Ringkas: UMNO: Tun Faisal digantung enam tahun | Gunung Merapi meletus lagi
Tambahnya, kenyataannya sebelum ini tidak langsung bercanggah dengan ketetapan parti yang menegaskan ‘No Anwar, No DAP’.
“Kita tidak pertikaikan keputusan parti sebab memang dasar parti tidak pernah berubah. Sebab itu kami (bersama Tan Sri Annuar Musa) menyuarakan perkara yang sejajar dengan dasar parti dan kita mempertahankan itu.
“Cuma ada individu bertindak berbeza dengan ketetapan parti tapi malangnya yang bersuara itu pula dikenakan tindakan.
“Yang tandatangan surat, yang buat jajaran baharu... itu tiada tindakan yang mana sebenarnya ia melanggar dasar parti. Itu yang dipertikaikan,” ujarnya.
Menurutnya, banyak pihak kini membuat spekulasi mendakwa hukuman terhadap beliau berkemungkinan untuk memberi peringatan kepada ahli lain agar tidak melawan parti.
#Zahid Hamidi #Annuar Musa #UMNO #DAP #pilihan raya #pemuda #perhimpunan #pilihan raya kecil #PAU2020 #gantung keahlian #Tun Faisal #Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya #digantung #enam tahun