NATIONAL

Yang Di-Pertuan Agong berangkat ke mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara

Bernama 13/10/2016 | 05:19 MYT
Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan) diiringi Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (kiri) dan Raja-Raja Melayu yang lain, berkenan berangkat ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-242 di Istana Negara, 13 Okt, 2016. - fotoBERNAMA
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-242, yang berlangsung untuk hari kedua di Istana Negara di sini.

Mesyuarat itu yang bermula semalam, dipengerusikan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dan dihadiri semua Raja-Raja Melayu kecuali Pahang, dengan diiringi menteri besar masing-masing.

Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak turut hadir pada mesyuarat itu diiringi ketua menteri masing-masing.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Khas akan diadakan esok bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Ketika ini, jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14 yang disandang Tuanku Abdul Halim berkuat kuasa 13 Dis 2011, akan tamat tempoh perkhidmatan pada 12 Dis.

Jika berdasarkan sistem penggiliran yang ditetapkan Majlis Raja-Raja, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berada pada giliran sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Namun terdapat beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja menerusi undi rahsia bagi menentukan pengganti seterusnya seperti baginda yang dilantik berkenan untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong dan tidak mengalami kelemahan atau ketidakupayaan mental.

Selain itu, baginda yang dilantik adalah merupakan Raja yang berada pada kedudukan teratas, mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima Raja lain, bukan Raja yang telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal berturut-turut.

Mengikut kebiasaan sebelum proses pemilihan berlangsung, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja terlebih dahulu akan menanyakan Raja yang seterusnya dalam senarai giliran mengenai kesediaannya untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Sembilan Raja berkenaan kemudian akan membuat undi rahsia dan sekiranya Raja dalam senarai itu mendapat lima undian, baginda dengan rasminya dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong seterusnya.

Proses yang sama diulangi untuk memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong, yang akan memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong semasa ketiadaan baginda di dalam negara atau kerana keuzuran. -- BERNAMA
#memilih Yang di-Pertuan Agong ke-15 #Mesyuarat Majlis Raja-Raja #sistem penggiliran #Sultan Muhammad V #Tuanku Abdul Halim