KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan kehadirannya pada Konsert Tradisional Gema Bumantara oleh biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza di Stadium Nasional, Bukit Jalil, baru-baru ini adalah atas jemputan penyanyi itu dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Perdana Menteri menyifatkan Siti Nurhaliza dan suaminya bersungguh-sungguh mahu beliau meluangkan masa, selain mengakui konsert berkenaan turut mengangkat warisan seni dan budaya tradisional negara.
“Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk K, memohon sangat-sangat supaya saya hadir. Memang betul saya bukanlah peminat tegar, tetapi saya tetap hadir walaupun agak lewat,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian selepas Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) berseloroh supaya Ahli Parlimen Tambun itu mengajaknya bersama jika ke konsert pada masa akan datang.
Berkongsi lanjut, Perdana Menteri turut melahirkan rasa kagum dengan konsert berkenaan kerana ia mengetengahkan pelbagai elemen warisan budaya, termasuk wayang kulit, tarian tradisional serta kebudayaan Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, persembahan sedemikian memberikan kebanggaan terhadap kekayaan lagu klasik dan warisan budaya Melayu yang perlu terus dipelihara.
Menjawab pandangan dan kritikan yang timbul susulan kehadirannya pada konsert itu pula, Anwar mengakui beliau mempunyai minat terhadap muzik, bukan sahaja lagu Melayu, malah lagu berbahasa Inggeris dan Hindi.
"Terima kasihlah kerana yang tegur itu yang ‘warak-warak’ yang tak pernah dengar lagu. Saya ini ada kelemahan saya kerana minat juga lagu, bukan sahaja Melayu, Inggeris. Hindustan pun saya minat,” ujar Perdana Menteri.
Pada 18 Oktober lalu, Anwar menyertai kira-kira 63,000 peminat menyaksikan persembahan Siti Nurhaliza di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.
Lebih mencuri perhatian apabila Perdana Menteri dilihat sanggup berhujan dengan memakai baju hujan menyaksikan persembahan penyanyi nombor satu negara itu.