MALAYSIA

YAPEIM peruntuk RM16.44 juta laksana 356 projek bina, baik pulih rumah sejak 2020

Bernama 02/02/2026 | 13:00 MYT
Zabidi berkata sepanjang tahun lepas, YAPEIM berjaya membina dan membaik pulih 80 rumah dan menyasarkan peningkatan sebanyak 10 peratus bagi tahun ini tertakluk kepada peruntukan semasa. - Gambar Facebook YAPEIM
PASIR PUTEH: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) memperuntukkan RM16.44 juta bagi pelaksanaan 356 projek bina baharu dan baik pulih kediaman di seluruh negara sejak 2020 hingga Disember tahun lepas.


Ringkasan AI
  • YAPEIM peruntukkan RM16.44 juta untuk 356 projek bina baharu dan baik pulih kediaman sejak 2020 hingga Disember tahun lepas, dengan 260 projek telah siap dan 96 masih dalam pembinaan.
  • Di Kelantan, YAPEIM melaksanakan 49 projek dengan peruntukan RM2.4 juta; bantuan ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap masyarakat memerlukan.
  • YAPEIM telah mengagihkan lebih RM725 juta kepada 10.1 juta penerima manfaat sejak 1985 hingga November 2025 melalui pelbagai program pembangunan ekonomi, pendidikan, dan kemasyarakatan, termasuk pembiayaan mikro melalui Ar Rahnu YAPEIM.


Ketua Pengarah YAPEIM Zabidi Nasan berkata daripada jumlah itu, sebanyak 260 projek telah siap manakala baki 96 projek lagi masih dalam proses pembinaan.

Beliau berkata di Kelantan, YAPEIM melaksanakan 49 projek melibatkan 28 projek bina baharu dan 21 projek baik pulih dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.4 juta.

"Bantuan ini bukan sekadar menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa, malah menjadi simbol keprihatinan Kerajaan MADANI dalam membina masyarakat penyayang serta memastikan golongan memerlukan tidak tercicir," katanya kepada Bernama pada Program Sesi Penyerahan Sinar Lestari YAPEIM di sini hari ini.

Pada majlis itu, sebuah rumah baharu bernilai RM85,284 diserahkan kepada penerima manfaat Siti Rubiah Jusoh, 48, hasil kerjasama rakan strategik Cagamas Berhad.

Zabidi berkata sepanjang tahun lepas, YAPEIM berjaya membina dan membaik pulih 80 rumah dan menyasarkan peningkatan sebanyak 10 peratus bagi tahun ini tertakluk kepada peruntukan semasa.

Beliau berkata sejak 1985 hingga November 2025, YAPEIM telah mengagihkan lebih RM725 juta kepada 10.1 juta penerima manfaat di seluruh negara menerusi pelbagai program teras merangkumi pembangunan ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan yang dilaksanakan secara inklusif dan holistik.

Menurut Zabidi, YAPEIM turut mengendalikan operasi pembiayaan mikro melalui Ar Rahnu YAPEIM dengan 201 cawangan di seluruh negara bagi membantu peniaga dan usahawan kecil mendapatkan pembiayaan jangka pendek.

"Sejak 2000 hingga November 2025, Ar Rahnu YAPEIM telah menyantuni kira-kira sejuta penggadai dengan nilai pembiayaan berjumlah RM14.2 juta dan nilai marhun sebanyak RM28.6 bilion," katanya.

-- BERNAMA


#YaPEIM #Usahawan Kecil #nilai marhun #pembiayaan mikro