MALAYSIA
Yatim piatu, pelajar cemerlang SPM terima tawaran belajar di Jordan

Muhammad Haziq Hakim menunjukkan keputusan SPM yang diperolehinya.
REMBAU: Kehilangan kedua-dua ibu bapa pada usia muda bukanlah sesuatu yang mudah buat Muhammad Haziq Hakimi Afzal, 18.
Ringkasan AI
- Muhammad Haziq kehilangan kedua-dua ibu bapanya pada usia muda ayahnya meninggal dunia akibat penyakit kaki gajah ketika dia berusia sembilan tahun, manakala ibunya pula meninggal dunia tahun lalu akibat komplikasi jantung ketika dia sedang membuat persiapan menghadapi peperiksaan percubaan SPM.
- Walaupun berdepan kesukaran emosi dan hidup sebatang kara, dia tetap berpegang pada pesanan ibunya untuk belajar bersungguh-sungguh. Hasilnya, dia memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam SPM dan ditawarkan menyambung pengajian dalam jurusan Pengajian Islam di Universiti Jordan.
- Sementara menunggu pengajian bermula, Haziq menjadi guru ganti KAFA, mengajar tuisyen, serta menulis cerpen dan puisi untuk menambah pendapatan. Dia turut menerima bantuan pencen penakat PERKESO sebanyak RM700 sebulan dan akan mengikuti kursus Bahasa Arab pada Oktober sebagai persediaan ke Jordan.
Lebih memilukan Muhammad Haziq tidak sempat berkongsi kejayaannya yang memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) dan baharu saja menerima tawaran menyambung pengajian di Universiti Jordan dalam jurusan Pengajian Islam.
Menurutnya, bukan mudah untuk dia melaluinya seorang diri, apatah lagi emaknya pergi ketika dia sedang membuat persediaan menghadapi peperiksaan percubaan SPM.
"Saya hilang semangat selepas emak yang satu-satunya insan yang ada dalam hidup saya pergi buat selama-lamanya.
"Tapi pesanan emaklah yang menjadi kekuatan kepada saya. Dia selalu ingatkan supaya belajar bersungguh-sungguh kerana dia hanya bekerja sebagai pekerja pembersihan sekolah dan arwah ayah pula hanya pengawal keselamatan," katanya ditemui di rumahnya di Taman Pedas Perdana di sini pada Sabtu.
Berpegang kepada pesanan itulah Muhammad Haziq nekad untuk memastikan dia memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM sekali gus mahu mengubah nasib dirinya.
Dia juga bersyukur kerana dikelilingi guru dan rakan-rakan yang sentiasa memberi semangat, begitu juga dengan bapa dan ibu saudara yang banyak membantu.
"Selepas emak meninggal, saya menumpang di rumah bapa saudara di Chengkau di sini supaya lebih dekat untuk ke sekolah.
"Hanya beberapa bulan lalu selepas selesai peperiksaan SPM, saya pulang tinggal di rumah arwah emak ini," katanya.
Selain itu katanya, sementara menunggu menyambung pengajian, dia menjadi guru ganti Kelas Agama Fardu Ain dan mengajar tuisyen.
Pada masa sama, dia juga mencari duit poket dengan menulis cerpen dan puisi yang dihantar kepada Dewan Bahasa Dan Pustaka .
"Dapatlah duit sikit untuk saya teruskan hidup selain duit pencen penakat arwah Ibu yang diterima daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak RM700 sebulan.
"Insya-Allah bulan Oktober nanti saya akan mengikuti kursus Bahasa Arab sebagai persediaan untuk menyambung pengajian ke Jordan,"katanya.
Tambahnya lagi, jika wanita yang melahirkannya itu masih ada, pastinya dia berbangga dengan pencapaiannya yang cemerlang dalam SPM sehingga ditawarkan menyambung pengajian di Jordan.
"Ini harapan emak untuk melihat saya berjaya, tapi sayangnya dia sudah tiada," katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami