KUCHING: Usaha memperkukuh kecemerlangan akademik dalam kalangan anak-anak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus diperkasa apabila Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengagihkan 664 peranti pembelajaran digital kepada pelajar yang menyertai Program e-Perkasa SPM 2026.
Inisiatif itu membolehkan pelajar mengikuti kelas tuisyen dalam talian secara percuma sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain memperluaskan akses kepada pembelajaran digital tanpa mengira lokasi.
Menurut Yayasan LTAT, Program e-Perkasa SPM merupakan antara inisiatif pendidikan utama yang dilaksanakan di bawah Kementerian Pertahanan bagi membantu meningkatkan pencapaian akademik anak-anak anggota ATM yang bersekolah di luar kem.
"Program ini menyediakan sokongan pembelajaran yang lebih fleksibel menerusi kelas tuisyen dalam talian, sekali gus membantu pelajar membuat persediaan lebih menyeluruh untuk menghadapi SPM," menurut Yayasan LTAT dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama strategik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), melibatkan lima mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah melalui platform pembelajaran digital Classpro.
Bagi pelaksanaan di Sarawak, majlis penyerahan peranti secara simbolik diadakan di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan. Secara keseluruhan, seramai 80 anak warga ATM di negeri itu menyertai Program e-Perkasa SPM 2026.
Yayasan LTAT berkata bantuan yang disalurkan diharap dapat meningkatkan motivasi pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik serta membuka peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
"Program ini juga diharapkan mampu merapatkan jurang akses pendidikan digital dalam kalangan anak-anak ATM serta memastikan mereka tidak tercicir daripada menikmati manfaat pembelajaran berasaskan teknologi," menurut kenyataan itu.
Program e-Perkasa SPM 2026 merupakan sebahagian daripada inisiatif pendidikan Yayasan LTAT yang dilancarkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 14 Mei lalu.
Pelaksanaannya turut mendapat sokongan rakan strategik korporat iaitu PERNAMA, Boustead Plantations Berhad, TM Technology Services Sdn Bhd dan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd.