PULAU PINANG : Seramai 500 peserta  dari lapan universiti dan kolej seluruh negara menyertai Forum Pengamal Perhubungan Awam Muda (YPF) 2025 anjuran Persatuan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia (PRactitioners) di sini, pada Isnin.

Menerusi satu kenyataan, PRactitioners berkata forum berimpak tinggi itu bertujuan memperkasa pelajar dan graduan dengan ilmu, kemahiran serta rangkaian profesional bagi meningkatkan daya saing dalam bidang perhubungan awam dan komunikasi yang semakin berkembang.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, dalam ucapan yang disampaikan Setiausaha Politiknya, Dr Kelvin Yii, berkata komunikasi strategik kini menjadi keperluan utama dalam pembangunan negara dan pertumbuhan generasi baharu.

"YPF memberi ruang untuk mendengar aspirasi anak muda dan melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya di peringkat tempatan dan global," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PRactitioners, Datuk P. Kamalanathan, berkata penganjuran forum seperti YPF adalah tepat pada masanya dan menjadi keperluan dalam membina asas kukuh bagi membentuk generasi profesional.

"Inisiatif ini mencerminkan usaha memastikan generasi muda dibekalkan dengan ilmu teknikal, keyakinan dan pemikiran kritikal untuk memacu industri ke peringkat lebih tinggi," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Penganjur YPF 2025, Christopher Raj, berkata forum itu bermatlamat memberi motivasi dan menggerakkan bakat baharu dalam bidang komunikasi.

"YPF adalah ruang untuk membina hubungan, mencetuskan idea dan memulakan kerjaya," kata beliau.

Penganjuran YPF 2025 adalah sebahagian daripada inisiatif ‘Young Practitioners Initiative’ yang dilancarkan Januari lalu, menghimpunkan pengamal industri, pendidik dan pelajar untuk berkongsi ilmu dan pengalaman.

Ujar PRactitioners, pihaknya berhasrat mengangkat inisiatif  ‘Young Practitioners Initiative’ sebagai komitmen berterusan untuk membentuk industri perhubungan awam Malaysia yang lebih berdaya tahan dan dinamik.



Penganjuran YPF 2025 adalah sebahagian daripada inisiatif ‘Young Practitioners Initiative’ yang dilancarkan Januari lalu, menghimpunkan pengamal industri, pendidik dan pelajar untuk berkongsi ilmu dan pengalaman.


Forum itu turut menampilkan moderator dan panelis tersohor dari pelbagai sektor yang membincangkan hala tuju kerjaya dalam komunikasi massa, pengurusan krisis dari perspektif Malaysia, implikasi Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 dan strategi pengurusan pihak berkepentingan.

Majlis penutupan forum disempurnakan EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen.