GERIK: Seekor gajah liar yang dilapor telah memusnahkan pokok getah dan pisang di ladang Felda Tawai, di sini, akhirnya berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak.

Pekerja ladang, Rozali Mohd Zin, 42, berkata dia gementar setiap kali terserempak dengan haiwan itu ketika melakukan rutin harian meronda kawasan ladang sejak seminggu lalu.

"Kebiasaannya haiwan ini dilihat pada waktu petang dan malam namun, kami lihat dari jauh sahaja dan tidak berani mendekati.

"Dalam tempoh seminggu ini kerap berlaku kemusnahan pokok getah dan pisang.

"Kami terus melaporkan kepada pihak pengurusan dan seterusnya Perhilitan untuk tindakan dan keselamatan pekerja-pekerja di sini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Menurutnya, mereka berasa lega apabila gajah yang diberi nama Yob Tawai itu berjaya ditangkap oleh Perhilitan pada Selasa lalu.

"Walaupun sudah ditangkap, kami perlu sentiasa berhati-hati ketika melakukan rondaan dan kerja-kerja di ladang ini.

Yob Tawai ditarik Abot dan Rambai untuk dipindahkan ke habitat asal di Taman Negeri Royal Belum.

"Ladang ini berhampiran dengan Hutan Simpan Piah yang juga habitat kepada kumpulan gajah di sini," katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati tempoh masa lima jam diambil Perhilitan untuk memindahkan gajah jantan terbabit ke Taman Negeri Royal Belum di sini.

Seramai 22 kakitangan Perhilitan Perak bersama Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang dan doktor veterinar terlibat dalam operasi yang bermula pada jam 9 pagi.

Dua gajah denak betina, Rambai dan Abot digunakan bagi mengiringi dua gajah liar berkenaan menaiki lori yang terletak kira-kira 200 meter.

Menurut sumber, gajah jantan dianggarkan seberat 2.3 tan berusia lingkungan 11 tahun itu dilaporkan tersesat dari Hutan Simpah Piah.

"Aduan diterima pada 24 Disember tahun lalu dan usaha menangkap sebelum ini agar sukar memandangkan kawasan terbabit tiada pokok besar untuknya berlindung.

"Haiwan terbabit dipercayai diusir keluar dari kumpulan oleh gajah jantan dominan menyebabkan hanya seekor yang dikesan tersesat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi mengesahkan operasi pindah Yob Tawai tersebut.


*Berita asal di Sinar Harian