NATIONAL
YPM peruntuk RM30 juta laksana program bantuan, akses pendidikan tahun ini
Faisalludin berkata semua program yang dilaksanakan itu merangkumi pelbagai peringkat umur bermula di sekolah rendah sehingga sekolah menengah terutama calon SPM. - Foto fail
ALOR GAJAH: Yayasan Pelajaran MARA (YPM) memperuntukkan kira-kira RM30 juta bagi melaksanakan pelbagai program bantuan dan akses pendidikan di seluruh negara pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran MARA (YPM) Faisalludin Mohamat Yusuff berkata usaha berkenaan bertujuan membantu kerajaan melalui Kementerian Pendidikan untuk mencapai sifar buta huruf pada peringkat sekolah khususnya murid kurang berkemampuan atau miskin di dalam dan luar bandar.
Beliau berkata semua program yang dilaksanakan itu merangkumi pelbagai peringkat umur bermula di sekolah rendah sehingga sekolah menengah terutama calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Semua program bantuan yang dilaksanakan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat terutama dalam bidang pendidikan menerusi agensi di bawah MARA.
"Peruntukan yang diperoleh bagi melaksanakan program berkenaan bukan sahaja daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), tetapi juga daripada badan korporat, individu, pelbagai agensi dan kerajaan negeri," katanya di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup Program Kem A-Plus YPM 2025 Peringkat Parlimen Masjid Tanah yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Faisalludin berkata pada tahun lepas sahaja, YPM membelanjakan sebanyak RM944,198 bagi melaksanakan pelbagai program seperti bantuan persekolahan, program tuisyen pintar, program kecemerlangan pembangunan insan serta program latihan dan kepimpinan.
Beliau berkata satu daripada program latihan dan kepimpinan yang dilaksanakan ialah Program Kem A-Plus bertujuan menyemai dan memperkasakan semangat cintakan negara serta mengukuhkan jati diri pelajar melalui bidang pendidikan.
Katanya, program berkenaan mula dilaksanakan pada tahun lepas susulan daripada Program Orientasi Karakter dan Orientasi Kerjaya yang menyasarkan penglibatan pelajar pada peringkat sekolah menengah.
"Sepanjang tahun lepas, Program Orientasi Karakter dan Orientasi Kerjaya dilaksanakan di 79 kawasan terpilih di seluruh negara melibatkan lebih 7,900 pelajar melalui kem yang dianjurkan manakala keseluruhan pelajar terlibat dalam Program Kem A-Plus ialah hampir 150,000 orang.
"Pada tahun ini pula, kita telah dan sedang melaksanakan program sama di 105 kawasan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan," katanya.
-- BERNAMA