[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Sahkan Pegawai Penyiasat Tidak Patuh SOP, Gagal Mohon Bedah Siasat – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

YTL AI Labs lancar ILMU, model LLM terbaik dalam Bahasa Melayu

Shafizan Johari 12/08/2025 | 10:29 MYT
YTL AI Labs melakar sejarah dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dengan pelancaran ILMU, model bahasa skala besar multimodal (LLM) seratus peratus buatan tempatan yang dibangunkan dengan kerjasama Universiti Malaya. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: YTL AI Labs melakar sejarah dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dengan pelancaran ILMU, model bahasa skala besar multimodal (LLM) seratus peratus buatan tempatan yang dibangunkan dengan kerjasama Universiti Malaya.


Ringkasan AI
  • YTL AI Labs melancarkan ILMU, model bahasa skala besar multimodal pertama buatan Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaya, setanding GPT-4o dan model AI global lain.
  • ILMU unggul dalam Bahasa Melayu dengan pencapaian tertinggi dalam penanda aras MalayMMLU, memanfaatkan konteks dan budaya tempatan.
  • Tiga inisiatif utama dilancar: ILMU Untuk Perniagaan (akses API), program akselerator dengan token API percuma, dan aplikasi ILMUchat yang dibuka pada 16 September 2025.


ILMU – singkatan kepada Intelek Luhur Malaysia Untukmu – merupakan AI ciptaan Malaysia yang dilatih sepenuhnya dengan konteks dan budaya tempatan, menjadikannya model terbaik dunia dalam Bahasa Melayu serta setanding dengan model AI global terkemuka seperti GPT-4o, DeepSeek-v3 dan Llama 3.1 dalam pelbagai penanda aras utama.

Pengarah Eksekutif YTL AI Labs Lou Yeoh berkata “ILMU menandakan satu pencapaian penting dalam sejarah Malaysia kerana Malaysia kini mempunyai model bahasa skala besar multimodal pertama milik tempatan.

“Perkara ini sangat penting kerana kita kini setanding dengan model-model tercanggih dunia seperti GPT, Llama dan DeepSeek, tetapi ILMU adalah milik Malaysia sepenuhnya dan dalam penanda aras global, prestasi kita sama hebat dengan mereka, namun kelebihan utama ILMU ialah bahasa dan budaya Malaysia,” jelasnya.

Keupayaannya dalam Bahasa Melayu dibuktikan dengan pencapaian tertinggi dalam penanda aras MalayMMLU, penanda aras antarabangsa untuk Bahasa Melayu, sekali gus memperlihatkan kefasihan mendalam dalam bahasa dan konteks budaya tempatan.

“Dalam Bahasa Melayu, kita berada di tangga teratas penanda aras MalayMMLU dan ILMU berbahasa seperti orang Malaysia serta berfikir seperti orang Malaysia. Inilah yang menjadikan ILMU begitu istimewa,” tambah Lou lagi.

ILMU telah mula menerima sambutan luas, termasuk syarikat-syarikat utama Malaysia serta syarikat pemula tempatan dan antarabangsa, merangkumi sektor automotif, kewangan, media, kesihatan, pendidikan, telekomunikasi dan teknologi sudah memanfaatkan keupayaannya.

Semasa pelancaran, YTL AI Labs turut memperkenalkan tiga inisiatif utama.

Pertama, ILMU Untuk Perniagaan, di mana sektor perniagaan boleh mendapat Akses API kepada token ILMU.

Kedua, Program akselerator ILMU AI dengan Tawaran token API percuma bernilai sehingga USD 1 juta untuk syarikat pemula, dengan kerjasama MDEC.

Ketiga, ILMUchat untuk Pengguna, iaitu Aplikasi sembang pintar “Malaysia’s ChatGPT” yang akan dibuka untuk akses awal pada 16 September 2025, sempena Hari Malaysia.

Dengan pelancaran ini, Malaysia bukan sahaja memperkukuh kedudukan dalam landskap AI global, malah memastikan pembangunan teknologi masa depan terus berpaksikan nilai dan identiti negara.



#YTL AI Labs #ilmu #Lou Yeoh #universiti malaya