MALAYSIA

YTL Construction terima Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2024

Malekah Aisyah 18/10/2025 | 02:15 MYT
YTL Construction menerima Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NKKP) 2024 bagi kategori Pembinaan (Kendalian Bangunan). - Foto Infoscreen
SEPANG: Komitmen berterusan YTL Construction dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tapak pembinaan sekali lagi mendapat pengiktirafan apabila syarikat itu dianugerahkan Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NKKP) 2024 bagi kategori Pembinaan (Kendalian Bangunan).


Ringkasan AI
  • YTL Construction terima Anugerah Cemerlang NKKP 2024, bagi kategori Pembinaan (Kendalian Bangunan), atas komitmen terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
  • Majlis anjuran JKKP dan KESUMA turut lancar buku sejarah penguatkuasaan keselamatan, serta umum 28 pemenang dalam pelbagai kategori.
  • Malaysia cipta rekod dunia melalui kempen keselamatan pekerjaan, sekali gus mengukuhkan peranan negara di peringkat global.


Anugerah berprestij tersebut disampaikan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dalam Majlis Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2024 yang berlangsung di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Pengiktirafan ini menjadi bukti dedikasi YTL Construction dalam menerapkan budaya kerja yang selamat dan sihat, selaras dengan prinsip syarikat “Building the Right Thing” yang menekankan aspek keselamatan, tanggungjawab dan kemampanan dalam setiap projek.


Yeoh (tengah) ketika menerima Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan sekaligus menjadi lambang komitmen syarikat dalam menjaga keselamatan dan kesihatan pekerja. - Foto Infoscreen

Pengarah Eksekutif YTL Construction, Yeoh Keong Yuan, menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil usaha kolektif seluruh pasukan.

“Anugerah ini mencerminkan komitmen kami dalam menjadikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan sebagai keutamaan di setiap projek. Kami berterima kasih kepada JKKP atas pengiktirafan ini,” katanya.

Majlis anjuran Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) serta JKKP ini mengiktiraf individu dan organisasi yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam pelaksanaan sistem keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Sebanyak 28 pemenang diumumkan pada malam penganugerahan.

Turut dilancarkan pada majlis tersebut ialah buku “150 Tahun Evolusi Penguatkuasaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Malaysia”, yang mendokumentasikan sejarah panjang usaha kerajaan memperkukuh dasar dan perundangan keselamatan pekerjaan sejak era perlombongan bijih timah hingga ke sektor moden hari ini.

Malaysia turut mencatat kejayaan antarabangsa apabila JKKP dan NIOSH menerima pengiktirafan Guinness World Records bagi kategori “World Record Achievement in Most Pledges Received for an Occupational Safety Campaign for One Year”, sekali gus mengukuhkan peranan negara sebagai peneraju agenda keselamatan pekerjaan di peringkat global.


Sesi bergambar bersama antara wakil YTL Construction dan para hadirin, usai majlis penyampaian anugerah tamat. - Foto Infoscreen


Majlis ini turut menegaskan komitmen kerajaan terhadap ratifikasi Konvensyen C187 dan C155 oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), yang menekankan hak pekerja serta budaya kerja selamat di semua peringkat.

Melalui penganugerahan ini, KESUMA berharap dapat menyemai kesedaran dan semangat dalam kalangan majikan serta pekerja untuk terus memperkukuh budaya “Kerja Selamat dan Sihat” di seluruh negara.








#YTL Construction #Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaa #JKKP #KESUMA #MNKKP #NIOSH