KOTA KINABALU: Kemiskinan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada anak-anak Sabah untuk mendapatkan pendidikan dan mengubah kehidupan keluarga mereka.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pengalaman membesar dalam keluarga susah memberikannya kesedaran mengenai kepentingan bantuan pendidikan bagi memastikan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan tidak tercicir.
Beliau berkongsi pengalaman ketika mahu menduduki peperiksaan LCE atau Sijil Rendah Pelajaran pada 1971, apabila ibunya terpaksa meminjam wang daripada saudara-mara untuk membayar yuran peperiksaan sebanyak RM15.
Katanya, pengalaman itu tidak pernah dilupakan dan menjadi antara sebab penting untuk memastikan kesusahan hidup tidak menafikan peluang pendidikan generasi muda Sabah.
“Saya tidak pernah lupa peristiwa itu. Dan saya percaya, ribuan lagi ibu bapa di luar sana yang menghadapi keadaan atau situasi serupa, atau mungkin lebih teruk lagi daripada itu, sehingga anak-anak tidak dapat melanjutkan pelajaran.
“Sebab itu, sekiranya kerajaan berkemampuan untuk menghilangkan satu halangan daripada perjalanan hidup seorang anak Sabah untuk maju dan berjaya, maka kita harus hilangkan halangan tersebut,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen GRS 2026 hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri kini melaksanakan 14 inisiatif bantuan pendidikan, termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) dan bantuan tiket penerbangan mahasiswa menerusi SUBFLY.
Beliau berkata, peruntukan biasiswa kerajaan negeri turut meningkat daripada RM50 juta pada 2021 kepada RM155 juta pada 2026.
Katanya, hampir 480,000 pelajar telah menerima manfaat daripada pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif pendidikan berkenaan.
Hajiji berkata, pelaburan dalam pendidikan bukan sahaja memberi kesan kepada masa depan pelajar, malah dapat meringankan beban kewangan keluarga pada masa ini.
Dalam pada itu, beliau berkata usaha membela golongan miskin turut diteruskan menerusi program Sentuhan Kasih Rakyat dan pembinaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menurutnya, sebanyak 11,000 rumah telah dan sedang dibina menerusi inisiatif berkenaan, manakala pembinaan 50 rumah bagi setiap Dewan Undangan Negeri diteruskan tahun ini bagi membantu golongan miskin, miskin tegar serta pasangan muda daripada keluarga kurang berkemampuan.
Beliau berharap pelbagai inisiatif itu dapat membantu anak-anak Sabah memperoleh kehidupan yang lebih baik berbanding generasi ibu bapa mereka.