MALAYSIA

'Yuyu', suami dan tiga ahli keluarga didakwa edar pil kuda

Sinar Harian 10/07/2025 | 05:25 MYT
Semua tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Pasir Mas hari ini. - Gambar/ Sinar Harian
PASIR MAS: Pengusaha salun dan kedai makan yang dikenali sebagai 'Yuyu' bersama suami serta tiga lagi ahli keluarga didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas tiga pertuduhan mengedar lebih 20 kilogram (kg) dadah jenis pil kuda di tiga lokasi berasingan dekat sini pada 27 Jun lalu.


Ringkasan AI
  • Lima individu termasuk pengusaha salun dan kedai makan dikenali sebagai 'Yuyu' didakwa atas tiga pertuduhan mengedar lebih 20 kg dadah jenis pil kuda di tiga lokasi berasingan di Kampung Banggol Chicha pada 27 Jun lalu.
  • Pertuduhan melibatkan pengedaran methamphetamine dalam kereta, rumah, dan kandang lembu, dengan kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.
  • Mahkamah menetapkan 26 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes dan laporan kimia, dengan dua tertuduh diwakili peguam manakala tiga lagi tidak diwakili.


Tiada pengakuan direkodkan oleh kesemua tertuduh iaitu Mohd Faizal Ismail, 35, isterinya, Nur Ayu Fatihah Zaudi, 34, yang merupakan pemilik salun dan kedai makan, Mohamad Farid Ismail, 33, Mohd Khairu Azani Mohd Lawi, 39, bersama Mohamad Asmawi Janudin, 25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.

Mohd Faizal merupakan abang kepada Mohamad Farid dan mereka berdua adalah bapa saudara kepada Mohamad Asmawi.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Faizal didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 115 gram di dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia di lorong simpang tiga Jalan Gajah Mati di Kampung Banggol Chicha di sini kira -kira jam 11.15 pagi pada 27 Jun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Faizal dan Nur Ayu Fatihah dituduh mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 112 gram di sebuah rumah di Kampung Banggol Chicha di sini kira-kira jam 11.30 pagi pada hari yang sama.

Berdasarkan pertuduhan ketiga, kelima-lima tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 19,866 gram di kawasan kandang lembu di belakang sebuah rumah di Kampung Banggol Chica di sini kira-kira jam 4.30 petang pada hari tersebut.

Kelima-lima tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimi manakala Mohd Faizal bersama Nur Ayu Fatihah diwakili peguam, Mohd Norazihan Adnan dan tiga lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 26 Oktober depan sebutan semula kes dan laporan kimia. - Sinar Harian





#Yuyu #usahawan Kelantan #pil kuda #pengusaha salun