MALAYSIA

YVATM buka pusat dialisis kelima

Bernama 05/09/2025 | 13:45 MYT
Semaon menyaksikan penyerahan sumbangan RM50,000 daripada Affin Islamic Bank Bhd dan RM39,500 daripada Pharmaniaga Bhd kepada YVATM. - Gambar YVATM
IPOH: Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (YVATM) membuka sebuah lagi pusat dialisis bagi membantu menyediakan rawatan berkualiti kepada veteran dan masyarakat setempat.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mej Jen Datuk Semaon Marjuki berkata pusat dialisis di Bidor merupakan cawangan kelima yang dikendalikan DVET Holding Sdn Bhd iaitu anak syarikat milik penuh YVATM.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi YVATM berkata pihaknya berhasrat membuka lebih banyak pusat dialisis di negeri lain agar semakin ramai pesakit, khususnya veteran ATM dapat menerima rawatan.

"Sehingga kini, DVET menguruskan empat pusat dialisis di Selangor iaitu di Seri Kembangan, Batu Caves, Bukit Sentosa dan Batang Kali sebelum di Perak.

"Dengan pembukaan cawangan di Bidor, kami merancang memperluas perkhidmatan melalui empat lagi pusat dialisis akan dibuka tahun ini iaitu di Batu Kurau (Perak), Mersing (Johor), Muadzam Shah (Pahang) dan Jempol (Negeri Sembilan)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semaon berkata pusat dialisis itu menawarkan rawatan menggunakan peralatan moden mengikut piawaian Kementerian Kesihatan (KKM) dengan khidmat jururawat berpengalaman dan menawarkan kos rawatan lebih berpatutan.

Beliau berkata ramai petugas mempunyai pengalaman luas dalam bidang nefrologi menjadikan rawatan di pusat dialisis itu selamat, selain memberi keyakinan kepada pesakit serta keluarga mereka.

"Selain itu, kos rawatan ditawarkan lebih berpatutan berbanding banyak fasiliti lain. Malah setiap pusat dialisis YVATM berfungsi sebagai institusi sosial demi kesejahteraan, bukan sekadar perkhidmatan kesihatan komersial," katanya.

Menurut Semaon, keunikan kemudahan pusat dialisis itu adalah pendekatan inklusif YVATM membuka perkhidmatan kepada semua lapisan masyarakat dan bukan hanya veteran ATM.

Pada majlis perasmian pusat dialisis di Bidor semalam, Semaon menyaksikan penyerahan sumbangan RM50,000 daripada Affin Islamic Bank Bhd dan RM39,500 daripada Pharmaniaga Bhd kepada YVATM.

YVATM menyifatkan sumbangan itu bukti komitmen berterusan sektor korporat dalam mendukung usaha kebajikan yayasan serta memperkukuh jaringan kerjasama strategik yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat terutama veteran ATM.

-- BERNAMA



#Angkatan Tentera Malaysia #pusat dialisis #KKM #sektor korporat