ISKANDAR PUTERI: Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, Datuk Zahari Sarip, dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang baharu.
Pelantikan Zahari, 59, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, dibuat selepas namanya dicadangkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN-Machap).
Onn Hafiz mengemukakan Zahari sebagai calon tunggal bagi jawatan Speaker DUN Johor, dengan pencalonan itu disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (BN-Bukit Permai).
Zahari menggantikan Datuk Mohd Puad Zarkashi yang menyandang jawatan Speaker sejak 2022 selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15.
Mohd Puad, yang juga bekas ADUN Rengit serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, sebelum ini mengumumkan keluar daripada parti itu pada 25 Jun lalu.
Berucap selepas mengangkat sumpah dan mengenakan pakaian rasmi Speaker, Zahari merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk memegang jawatan tersebut.
Beliau menyifatkan pelantikan itu sebagai satu penghormatan dan berjanji untuk melaksanakan amanah berkenaan dengan penuh komitmen serta dedikasi.
“Saya akan melaksanakan tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya. Saya juga mewakili seluruh ADUN merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Speaker dan Timbalan Speaker terdahulu, iaitu Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan Datuk Samsolbari Jamali,” katanya.
Pada PRN Johor ke-16, Zahari berjaya mempertahankan kerusi DUN Buloh Kasap bagi penggal ketiga selepas memperoleh 14,054 undi untuk menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Rozy Razit, yang meraih 5,454 undi.