NATIONAL
Zahid cadang naikkan elaun sukarelawan APM kepada RM80 sehari
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi berkata sedemikian dalam Majlis Penutupan Sambutan Bulan Pertahanan Awam ke-73 pada Selasa.- Astro AWANI/Shahir Omar
SUNGAI MERAB: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi tekad memperjuangkan kenaikan elaun anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, elaun tersebut dicadang untuk dinaikkan kepada RM80 sehari berbanding RM40 sehari ketika ini.
Perkara itu bakal dibawa ke peringkat Jemaah Menteri dalam masa terdekat ini untuk diteliti.
"Saya minta agar disamaratakan elaun yang diberikan kepada sukarelawan.
"Insya-Allah, rakan saya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil akan bersama untuk memperjuangkan supaya elaun APM dinaikkan kepada RM80.
"Kita tidak minta lebih tetapi biar sama rata dengan lain-lain sukarelawan," katanya dalam Majlis Penutupan Sambutan Bulan Pertahanan Awam ke-73 pada Selasa.
Tambahnya, penambahan elaun sukarelawan itu dilihat bertepatan dengan tugas yang dilaksanakan sukarelawan APM ketika Monsun Timur Laut.
Beliau juga memuji keberanian ditonjolkan anggota APM ketika terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat sewaktu insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pada awal April lalu.